LONDON: Selepas 42 tahun dijulang selaku juara Eropah, Aston Villa kembali dalam saingan Liga Juara-Juara dan bersedia untuk mencipta kejutan dalam saingan berkenaan.
Kejayaan Villa menewaskan Bayern Munich pada final Piala Eropah 1982 masih menjadi sebutan dalam sejarah kejohanan.
Lima tahun lalu, ia masih dianggap mustahil buat penyokong Villa untuk mengulangi kejayaan ikonik berkenaan apabila pasukan diturunkan ke saingan divisyen kedua bola sepak Inggeris.
Namun, pengendali Unai Emery yang tiba mengemudi pasukan pada 2022 memberi nafas baharu apabila Villa dan berjaya menamatkan kempen Liga Perdana musim lalu di kedudukan keempat untuk menjamin tempat dalam Liga Juara-Juara.
Kali terakhir mereka membuat penampilan di pentas utama Eropah itu adalah pada kempen 1982-83.
Selain pertembungan dengan Bayern, Juventus juga dijadual berkunjung ke laman Villa pada 27 November selepas skuad dari Itali itu memadamkan impian Villa pada kempen Piala Eropah di suku akhir 1983.
“Tiada siapa yang menjangkakan kami akan berada di sana tetapi kami percaya dengan diri sendiri dan yakin dengan impian kami,” kata pertahanan Villa, Lucas Digne.
Dalam pada itu, rakan sepasukan Diego Carlos berkata: “Selepas lebih empat dekad, kami kembali dalam Liga Juara-Juara!.” – AFP