ASAJAYA: Daerah Asajaya dipilih menjadi lokasi pertama di Bahagian Samarahan penganjuran Persembahan Muzikal Sarawak Harmoni yang dipimpin Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS).
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program ini adalah platform terbaik bagi mengeratkan silaturahim antara komuniti dan agensi kebudayaan.
“Kegiataan seni dan budaya tempatan perlu dipertahankan dan dikembangkan untuk diwarisi pada masa hadapan.
“Oleh itu, penglibatan bakat dalam kalangan komuniti tempatan sudah pasti akan menyemarakkan pemeliharaan seni dan budaya tempatan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata demikian ketika menghadiri Program Persembahan Muzikal Sarawak Harmoni Pemimpin Bersama Rakyat di sini, kelmarin.
Menurutnya, melalui penglibatan aktiviti seperti ini mampu mengurangkan tekanan rakyat dalam mengadaptasi amalan norma baharu susulan daripada wabak pandemik Covid-19.
“Kemeriahan persembahan malam ini bukti aktiviti seumpama ini mampu dilaksanakan meskipun dengan kehadiran yang dihadkan di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Justeru, saya ingin menggesa pihak penganjur, Majlis Seni Sarawak (MSS) supaya lebih kerap berkunjung ke Asajaya untuk membuat persembahan seperti ini,” tambahnya.
Abdul Karim turut menyarankan MSS dan SONS agar terus bergerak aktif dalam memartabatkan industri muzik Sarawak sehingga ke peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Persembahan Muzikal Sarawak Harmoni Pemimpin Bersama Rakyat berlangsung selama dua malam bermula 25 September yang lalu.
Oleh Akmal Adib Yusup