WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam mengenakan sekatan terhadap seorang hakim Iran yang menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli gusti kerana terbabit insiden dalam tunjuk perasaan.
Hukuman dijatuhkan hakim itu telah mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Navid Afkari, 27, yang pernah memenangi pelbagai pertandingan gusti pada peringkat kebangsaan, menjalani hukuman gantung pada awal bulan ini selepas disabitkan kesalahan membunuh ketika tunjuk perasaan di bandar Shiraz, dua tahun lalu.
AS menegaskan, ia mengambil tindakan terhadap Hakim Seyyed Mahmoud Sadati berikutan dakwaan bahawa Afkari diseksa ketika berada dalam tahanan untuk memaksanya membuat pengakuan.
“Hukuman mati itu adalah tindakan tidak masuk akal.
“AS menyeru semua negara untuk memberi tekanan akauntabiliti ke atas rejim itu dengan mengenakan sekatan seperti yang diumumkan pada hari ini,” kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, dalam satu kenyataan.
Jabatan Negara AS turut mengenakan sekatan terhadap Hakim Mohammad Soltani kerana menjatuhkan hukuman ke atas penganut agama Baha’i yang disekat secara meluas di Iran.
Menerusi sekatan itu, AS akan membekukan sebarang aset berkait dengan dua hakim terbabit di kawasan bawah penguasaannya dan melaksanakan dua sistem penjara.
Selain itu, sebarang transaksi kewangan dengan kedua-dua hakim berkenaan di AS dikategorikan sebagai jenayah.
Pelaksanaan hukuman mati terhadap Afkari mencetuskan kecaman meluas, termasuk daripada negara yang mengharapkan jalinan perhubungan lebih stabil dengan Iran. – AFP