ARAS perkasa industri seni, budaya dan kreatif Sarawak

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI Kasera, Padilla Jiahong, Roseline Neging, PS Datuk Snowdan, Juliet Tan, Pengarah MRSB, Cyril Kayam, Pengerusi ARAS dan Dr Dana Badang, Pengerusi PELASAR.

KUCHING, 2 November: Persatuan Armada Anak Seni Sarawak (ARAS) komited memperkukuh industri seni, budaya dan kreatif tempatan menerusi usaha menyatukan penggiat seni serta membuka lebih banyak peluang kepada bakat anak Sarawak untuk berkembang.

Pengerusi ARAS, Cyril Kayam berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk penganjuran program seni dan kebudayaan serta usaha memperluas jaringan kerjasama dengan persatuan, organisasi dan pemain industri.

Beliau berkata, penganjuran majlis makan malam dan Pengumpulan Dana ARAS yang diadakan baru-baru ini bertujuan mengeratkan hubungan antara penggiat seni, persatuan, organisasi dan pemain industri, selain mendapatkan sokongan kewangan bagi menjayakan program serta projek persatuan pada masa hadapan.

Menurutnya, antara pencapaian penting ARAS ialah kejayaan menganjurkan program Borneo Arts & Culture (BACA) 2024 yang menjadi platform mengetengahkan seni, budaya dan kreativiti tempatan.

PENGERUSI ARAS, Cyril Kayam menyampaikan ucapan.

“Program itu menyediakan ruang kepada penggiat seni dan budaya untuk mempersembahkan bakat, berkongsi pengalaman serta mempromosikan warisan budaya, sekali gus menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program lebih besar dan berimpak tinggi,” katanya.

Selain BACA 2024, ARAS turut terlibat dalam pembangunan karya muzik tempatan, penerbitan video muzik dan dokumentari serta penganjuran program seni persembahan.

Antara inisiatif yang pernah diketengahkan termasuk Konsert Irama Satu Sarawak 2025 serta penerbitan karya muzik tempatan seperti Keluwang Kelowet dan Ngattum.

Mengulas perancangan masa depan, Cyril berkata, ARAS menyasarkan penganjuran Island Beats of Borneo 2027, sebuah program seni, muzik dan kebudayaan yang dicadangkan menghimpunkan penggiat seni serta bakat kreatif dari empat wilayah Borneo, iaitu Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan.

WAKIL Datuk Snowdan Lawan, Roseline Neging menyampaikan ucapan.

Program itu dirancang sebagai platform kerjasama serantau yang menghimpunkan artis, pemuzik, penggiat seni persembahan dan pengamal budaya dari wilayah berkenaan.

Menurutnya, Island Beats of Borneo 2027 bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya turut membawa matlamat memperkukuh hubungan kebudayaan, memperkenalkan keunikan identiti masyarakat Borneo serta membuka peluang kerjasama dalam bidang muzik, seni persembahan dan industri kreatif.

Menerusi inisiatif itu, ARAS berharap bakat dan karya anak seni Sarawak dapat diperkenalkan kepada khalayak lebih luas, selain memberi peluang kepada penggiat seni dari Sabah, Brunei dan Kalimantan untuk berkongsi pengalaman serta mengetengahkan keunikan budaya masing-masing.

Tambah beliau, penganjuran program berkenaan juga berpotensi merancakkan sektor pelancongan, membuka peluang pekerjaan dan menjana aktiviti ekonomi menerusi industri kreatif serta acara kebudayaan berskala serantau.

Sehubungan itu, Majlis Makan Malam dan Pengumpulan Dana ARAS merupakan antara usaha mendapatkan sokongan kerajaan, sektor swasta, badan korporat, persatuan dan individu yang komited terhadap pembangunan industri seni serta kebudayaan.

POSTER majlis makan malam dan Pengumpulan Dana ARAS.

Dana yang dikumpulkan diharapkan dapat memperkukuh keupayaan persatuan dalam melaksanakan program, menyediakan peluang pembangunan bakat, memperluas jaringan kerjasama dan merealisasikan perancangan projek pada masa hadapan.

ARAS turut merakamkan penghargaan kepada semua tetamu jemputan, penyumbang, penaja dan pihak yang memberikan sokongan terhadap penganjuran majlis berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri wakil Datuk Snowdan Lawan, Roseline Neging.

Antara wakil organisasi yang hadir ialah Datuk Zamry Amera (Pusat Latihan Memandu Betong); Dominic Donald Bada (Persatuan Gendang Pampat serta Main Asal Iban Kuching); Ricky @ Nelson Geoege Lansam (Kelab Kesenian dan Kebudayaan Dayak Siol Kandis); serta Colin Michael Duk (Persatuan Artis dan Pemuzik Bidayuh – BAMA).

Turut hadir Dr. Dana Badang (Persatuan Kebajikan Masyarakat Asal Engkilili Lubuk Antu Skrang – PELASAR); James Samid (Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun); Padilla Anak Jiahong (Biubiu Event & Entertainment); Noreen Manggie (Kelab Seni Budaya Anak Sarawak – KESERA); Juliet Tan mewakili Music Rights Sarawak Berhad (MRSB) / Grand Spectrum Sdn Bhd; serta Ahras Minah (Persatuan Biannah).

Kehadiran wakil pelbagai organisasi itu mencerminkan sokongan dan semangat kerjasama dalam memperkukuh jaringan seni serta kebudayaan, bukan sahaja di Sarawak, malah ke arah hubungan lebih erat di peringkat serantau.