KUCHING: Penulisan kreatif dan publisiti meluas oleh pihak media pastinya akan membantu menyumbang kepada peningkatan keyakinan rakyat, sekali gus memberikan impak positif kepada sesebuah organisasi.
Khususnya terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), akan dilihat lebih profesional, berintegriti dan berwibawa dalam membina imej yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, peranan media massa menerusi disiplin kehidupan, sememangnya diakui, tidak dapat dinafikan kepentingannya baik media cetak, elektronik dan paling popular masa kini, media sosial, mengemudikan tahap pengetahuan masyarakat ke arah lebih meluas.
“Di HASiL, kewujudan media sangat diakui kepentingannya dalam membantu organisasi ini menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada rakyat berhubung ekosistem percukaian negara dan kepentingan cukai dalam pembangunan negara.
Beliau berkata sedemikian pada majlis penghargaan media Sarawak 2023 di salah sebuah hotel di Kuching, malam tadi.
Seramai 80 pengamal media di Sarawak diraikan pada majlis itu.
Mengulas lanjut, katanya lagi, sejak 2022, HASiL aktif menganjurkan sesi libat urus dengan pemain-pemain industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan pembayar cukai dalam usaha meningkatkan kesedaran, pendidikan dan memberi perkhidmatan percukaian melalui konsep AES atau ‘Awareness, Education and Services’.
“HASiL menerima maklum balas positif berhubung sesi-sesi libat urus ini kerana mereka lebih selesa berbincang dengan HASiL dalam konteks ‘nasihat’ berbanding ‘musuh.’
“HASiL berusaha ke arah memastikan pematuhan cukai menjadi lebih mudah. Kami di sini untuk memudahkan bukan untuk merumitkan. Begitulah jika dapat diterjemahkan fokus utama HASiL pada masa kini iaitu untuk meningkatkan pematuhan cukai dan bukan semata-mata tertumpu kepada penguatkuasaan,” katanya lagi.
Hari ini, HASiL ingin dikenali sebagai pemudah cara yang mesra, yang sedia memberikan perkhidmatan membantu rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab percukaian mereka.
“Justeru, di sinilah peri pentingnya hubungan akrab antara pihak media dan HASiL serta mewujudkan nilai kepercayaan yang mendalam antara satu sama lain dalam membantu memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap HASiL yang telah sekian lama tertanam sebagai agensi menakutkan,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN