
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara serta menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram kira-kira 95 batu nautika barat laut Tanjung Kidurong, baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan itu dilakukan kira-kira 12.50 tengah hari hasil maklumat risikan serta tindakan pantas aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op TIRIS 4.0, Op PERMAI 01/2019 dan Op NAGA.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati vesel terbabit dikendalikan tujuh kru warga Vietnam termasuk nakhoda berusia antara 30 hingga 52 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jika disabitkan kesalahan, pemilik vesel boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, manakala setiap kru boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.
Vesel bersama tujuh kru terbabit kemudian diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Muhammad Suffian berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat operasi rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan serta aktiviti perikanan haram yang boleh menjejaskan sumber marin dan kedaulatan perairan negara.
Beliau turut menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544.
Oleh Carolyne Utih




