SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok terus mempergiat pemantauan di kawasan berisiko bagi memastikan tiada aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan pencemaran alam sekitar.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pemantauan menerusi Op Ramah 2026 itu dilaksanakan di Kebun Sawit Pantai Alit, Kabong dan Tempat Pembuangan Sampah Paya Sepan, Roban, hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan bertujuan memastikan kedua-dua kawasan berkenaan bebas daripada sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menjejaskan kualiti alam sekitar serta mencetuskan situasi kecemasan.

“Tujuan pemantauan di kawasan tersebut adalah untuk memastikan tiada berlakunya aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar.
“Sepanjang pemantauan dijalankan, kedua-dua kawasan berada dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan kes kecemasan dikesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seramai tiga anggota APM terlibat dalam pemantauan berkenaan, iaitu Prebet Holleyness Alek, Prebet Izzuddin Hakim Ahmad Sufian dan Prebet Maxwell Ugah Birain.
Pemantauan dijalankan dalam keadaan cuaca baik dengan menggunakan sebuah kenderaan persendirian serta dilengkapi vest keselamatan.
APM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya ketika keadaan persekitaran berisiko, serta segera melaporkan sebarang kejadian kecemasan kepada pihak berkuasa.
Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Saratok di 083-436094 atau 083-437008 bagi melaporkan sebarang kejadian kecemasan.
Oleh Adi Safarman




