
BETONG: Detik cemas seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza berakhir dengan kelegaan apabila dia berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong dalam tempoh hanya dua minit, pagi tadi.
Insiden yang berlaku di kawasan Perumahan Berbanggai, Betong itu melibatkan mangsa berusia lebih satu tahun yang dilaporkan berada dalam keadaan panik dan menangis sewaktu kejadian.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 8.14 pagi sebelum sepasukan empat anggota digerakkan ke lokasi dua minit kemudian.
Menurutnya, pasukan penyelamat tiba di lokasi pada 8.20 pagi dan mendapati seorang kanak-kanak lelaki berada dalam keadaan panik serta menangis selepas terperangkap di dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza milik ibunya.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah masuk ke dalam kenderaan yang enjinnya masih dihidupkan sebelum menutup pintu.
“Namun, pintu kenderaan itu secara tiba-tiba terkunci dari dalam sebelum ibunya sempat memasuki kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ibu mangsa yang panik kemudian meminta bantuan orang awam untuk menghubungi APM Betong bagi mendapatkan bantuan segera.
Katanya, operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tool’ bagi mengumpil dan membuka pintu kenderaan tanpa menyebabkan sebarang kerosakan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh kira-kira dua minit selepas operasi dimulakan sebelum diserahkan semula kepada ibunya dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dialami mangsa dan tiada kerosakan berlaku pada kenderaan sepanjang operasi dijalankan.
Operasi berkenaan melibatkan empat anggota dengan menggunakan sebuah Kenderaan Respons Ringan (LRV).
Kapten Mohammad Noor turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memastikan kunci kenderaan dibawa bersama ketika keluar masuk kenderaan serta tidak membiarkan kanak-kanak berada bersendirian di dalam kereta bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman