Api ranapkan rumah pekerja berhampiran Tropic City

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
OPERASI PEMADAMAN…Anggota JBPM memadam kebakaran yang memusnahkan dua blok rumah pekerja berhampiran Kondominium Tropic City , Tabuan Heights, Kuching, malam ini. Foto JBPM Sarawak

KUCHING: Dua blok rumah pekerja jenis tidak kekal berhampiran Kondominium Tropic City, Tabuan Heights di sini musnah dalam kebakaran malam ini, manakala sebuah lagi blok mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 6.58 petang sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dengan bantuan BBP Batu Lintang serta BBP Padungan ke lokasi kejadian.

Kebakaran melibatkan tiga blok rumah pekerja jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan setiap blok 10 x 100 kaki. Dua blok terbakar sepenuhnya, manakala sebuah lagi berjaya diselamatkan dengan hanya 30 peratus mengalami kerosakan.

Komander Operasi, Daniel Teo Wee Chiet mengetuai operasi pemadaman yang melibatkan 28 anggota menggunakan satu aliran salur bantu mula bersama satu nozel serta tiga aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga nozel bagi mengawal kebakaran.

Pada masa sama, pasukan bantuan dari BBP Batu Lintang berjaya melaksanakan fire break dari arah bertentangan sekali gus menghalang api daripada merebak ke kawasan perumahan berhampiran.

Rumah pekerja berkenaan dipercayai didiami tiga warga asing, namun kesemua mereka tiada di lokasi ketika kejadian berlaku.

Operasi turut dipantau Ketua Balai BBP Tabuan Jaya, Tan Min Chai, dan melibatkan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta bantuan empat pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi pemadaman berjaya ditamatkan sepenuhnya pada 10.44 malam tanpa melibatkan sebarang kecederaan.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.