LUNDU: Api marak di Hutan Simpan Samunsan, bomba bertarung selamatkan khazanah hutan
Ketika bahang panas dan asap mula menyelubungi kawasan hutan, lapan anggota bomba dikerahkan ke Hutan Simpan Samunsan hari ini bagi memerangi kebakaran yang memusnahkan kira-kira dua hektar kawasan hutan.
Kebakaran dikesan menerusi pemantauan dron sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu digerakkan ke lokasi.
Panggilan kecemasan diterima pada 2.40 petang, manakala jentera tiba kira-kira 40 minit kemudian, iaitu pada 3.20 petang.
Komander Operasi, PBK I Nelson Phang Siaw Ming berkata, pasukan bomba kini sedang mengatur gerak untuk menjalankan operasi pemadaman, selain mendapatkan maklumat lanjut daripada Perbadanan Hutan Sarawak (SFC).
Usaha memadamkan api bagaimanapun bukan mudah apabila lokasi kebakaran terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama, selain tiada sumber air berhampiran dan kawasan terbakar berada di kawasan berbukit.
Operasi melibatkan sebuah jentera bomba (FRT) dan satu unit ambulan (EMRS), dengan anggota bomba terus berdepan cabaran untuk mengawal kebakaran daripada merebak lebih jauh.
Setakat ini, keluasan kira-kira dua hektar dilaporkan terjejas, manakala usaha pemadaman masih dijalankan.
Keadaan semasa masih dalam pemantauan pasukan bomba bersama SFC.
Oleh Afiq Sallehi





