KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata secara prinsipnya beliau bersetuju untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.
Bagaimanapun, Anwar berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu untuk membincangkan kaedah yang terbaik selain mencari titik kesefahaman.
“Kalau ada persefahaman, itu boleh berjalan. Saya cadangkan adakan proses rundingan dan kita cari kaedah dan secara prinsipnya saya tidak menolak memberi peruntukan kepada pembangkang seperti mana yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.
“Tetapi proses rundingan belum berlaku, yang ada proses permusuhan. Jadi saya usulkan mulakan proses rundingan dan saya akan tugaskan Ketua Whip dan menteri berkenaan runding dan kita putuskan. kalau cepat selesai, cepat lulus. Kalau selesai esok, lusa kita boleh lulus,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini, mengenai peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada Ahli Parlimen untuk membantu keperluan mangsa banjir di kawasan masing-masing.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sepanjang pentadbiran Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), pembangkang ketika itu tidak mendapat peruntukan.
“Tetapi tak apa, sebab ini MADANI, maknanya perlu adil,” kata Anwar.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera, semasa merntabir kerajaan, telah mengadakan rundingan secara baik dengan Pakatan Harapan ketika itu dengan melaksanakan libat urus bersama, kata Anwar.
Isu mengenai peruntukan sama rata sering dibangkitkan pihak pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Semalam, Muhyiddin mencadangkan kerajaan memberikan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen termasuk dari pembangkang bagi membolehkan mereka menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di kawasan masing-masing. – Bernama