SEOUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan hari ini dengan wakil ‘chaebol’, seorang tokoh terkemuka dari konglomerat Korea Selatan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
Selain itu, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan mulai 9.00 pagi (waktu Korea Selatan) dengan syarikat-syarikat terkenal, antaranya Kumpulan Samsung, SK Nexilis, Kumpulan POSCO dan Lotte International.
Perbincangan berkenaan selaras dengan strategi Malaysia untuk mendapatkan pelaburan ‘bernilai tinggi, pertumbuhan tinggi’ daripada Republik Korea.
Chaebol (tokoh korporat) adalah konglomerat milik keluarga, secara tradisinya menikmati hubungan rapat dengan kerajaan Korea Selatan.
Sokongan kerajaan negara tersebut terhadap entiti itu bermula selepas Perang Korea sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina semula ekonomi negara. – Bernama