KUALA LUMPUR: Tidak sampai seminggu filem seram Indonesia, Lembayung ditayangkan di negara jiran itu yang turut dijayakan pelakon jelita Malaysia Anna Jobling, beberapa sedutan video babak seram dan trailernya semakin tular di media sosial khususnya di TikTok.
Ratusan komen sama ada oleh netizen Malaysia mahupun Indonesia yang kebanyakannya teruja untuk menyaksikan lakonan anak kelahiran Kuala Lumpur itu, menerusi filem seram arahan aktor popular Indonesia Baim Wong, yang mula ditayangkan pada 18 September lepas.
Bagi netizen Malaysia, kebanyakannya tidak menyangka Anna, 24, atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling yang mula melonjak populariti menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu, mampu menjayakan watak berbeza daripada lakonan sebelum ini yang sering berkisar tentang cinta.
Menggalas watak sebagai Tantri dalam karya berdasarkan kisah benar itu, kebanyakannya teruja untuk menyaksikan penampilan Anna yang disifatkan mereka sebagai pengganti watak hantu yang pernah dilakonkan oleh Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.
Biarpun demikian, buat masa ini belum ada tarikh rasmi lagi bila Lembayung akan ditayangkan di pawagam Malaysia.
Bagi Aktres TV Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu, dia bersyukur dengan respons positif diterima selain tidak menyangka kemunculan sulungnya dalam filem Indonesia itu akhirnya membuka pintu rezekinya untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri perfileman di negara berkenaan.
“Selepas filem Lembayung, saya tidak menyangka akan menerima tawaran filem daripada tiga produksi berbeza di sini.
“Ini adalah peluang besar untuk saya kembangkan bakat dan karier di Indonesia dan berasa sangat terharu serta bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh industri perfileman mereka,” katanya yang turut berterima kasih kepada Baim Wong kerana membuka jalan baginya di negara jiran itu.
Jelas Anna yang kini kerap berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia, dia melihat peluang itu sebagai satu langkah positif dalam mencipta nama di peringkat antarabangsa sekali gus berharap dapat terus menonjolkan bakatnya di kedua-dua negara.
Dengan pelbagai tawaran baharu yang diterima, dia kini merancang mengembangkan lagi kariernya sebagai pelakon di Indonesia selain komited memberikan yang terbaik dalam setiap projek yang bakal disertainya.
“Saya berharap dapat memberikan lebih banyak lakonan yang bermutu, bukan sahaja kepada peminat di Malaysia tetapi juga di Indonesia.
“Ini adalah fasa baharu dalam karier saya dan saya akan terus bekerja keras untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya yang turut berpeluang berjumpa dengan beberapa nama besar dalam industri perfileman Indonesia antaranya Christine Hakim, Prilly Latuconsina dan Giorgino Abraham.
Bercerita lanjut, Anna mengakui teruja apabila peminat di sana juga sempat meraikan ulang tahun kelahirannya baru-baru ini ketika majlis tayangan perdana filem Lembayung.
“Saya sangat terharu apabila peminat-peminat di Indonesia bukan sahaja menyokong kerjaya saya tetapi juga meluangkan masa untuk meraikan hari lahir saya,” katanya menambah pemain industri di negara itu juga sangat profesional. — BERNAMA