BINTULU: Anjung Kasih Hospital Bintulu yang dirasmikan hari ini menjadi kemudahan kebajikan penting dalam menyediakan penginapan sementara yang selesa kepada waris pesakit yang menemani ahli keluarga mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Johari Tun Openg, menerusi kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Yayasan Bintulu Port melalui Bintulu Port Holdings Berhad serta Hospital Bintulu.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Nancy Shukri, Anjung Kasih merupakan salah satu inisiatif kebajikan di bawah YKN yang disediakan khusus untuk membantu waris pesakit, terutama mereka yang datang dari jauh dan memerlukan tempat tinggal sementara sepanjang menemani ahli keluarga mendapatkan rawatan.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara Malaysia berkata, kemudahan itu membantu meringankan beban waris pesakit yang tidak perlu menanggung kos penginapan tinggi, selain menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif sepanjang tempoh rawatan ahli keluarga mereka.
“Anjung Kasih menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada waris pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan,” katanya.
Anjung Kasih Hospital Bintulu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara YKN dan Yayasan Bintulu Port dengan pembiayaan berjumlah RM1.9 juta daripada Yayasan Bintulu Port melalui Bintulu Port Holdings Berhad.

Projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf sebuah bangunan kuarters jururawat kepada kemudahan penginapan yang lebih selesa dan lengkap untuk kegunaan waris pesakit serta keluarga mereka.
Dato Nancy berkata, Anjung Kasih Hospital Bintulu merupakan Anjung Kasih ke-20 yang dilancarkan oleh YKN di hospital kerajaan seluruh negara.
Kemudahan itu mempunyai 25 bilik penginapan termasuk sebuah bilik mesra Orang Kurang Upaya (OKU), yang mampu menampung sehingga 75 penghuni pada satu-satu masa.
Selain ruang penginapan, Anjung Kasih Hospital Bintulu turut dilengkapi pelbagai kemudahan sokongan termasuk ruang tamu, bilik kaunseling, ruang aktiviti, pantry, surau, ruang dobi, tandas serta kemudahan asas lain bagi memastikan keselesaan waris pesakit sepanjang berada di situ.
Sejak inisiatif Anjung Kasih diperkenalkan pada 2006 hingga Jun 2026, seramai 132,535 waris pesakit telah mendaftar dan menerima manfaat daripada kemudahan Anjung Kasih di seluruh negara.
Menurut beliau, di Sarawak terdapat empat buah Anjung Kasih yang disediakan iaitu di Hospital Miri, Hospital Sibu dan Hospital Bintulu sebagai kemudahan terbaharu.
Beliau turut menyeru lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, yayasan korporat serta organisasi berkemampuan supaya bersama-sama YKN memperluaskan inisiatif kebajikan seperti Anjung Kasih.
“Apabila kerajaan dan sektor korporat berganding bahu, lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya selaras dengan semangat masyarakat penyayang yang menekankan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Dato Nancy turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Bintulu Port Holdings Berhad, Dato Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad, Dato’ Ruslan Abdul Ghani, atas komitmen dalam merealisasikan pembangunan Anjung Kasih Hospital Bintulu.
Beliau turut menghargai kerjasama Pengarah Hospital Bintulu, Dr. Suzalina Sulaiman, serta seluruh warga Hospital Bintulu dan Bintulu Port Holdings yang terlibat dalam menjayakan kemudahan berkenaan.
Oleh Faizah Muzidi




