
MIRI: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Sarawak mencipta satu lagi sejarah penting dalam usaha memperkasa ekonomi koperasi dengan melancarkan Program CoopUmrah ANGKASA Sarawak.
Usaha ini merupakan sebuah inisiatif strategik yang memberi peluang kepada lebih ramai anggota koperasi menunaikan ibadah umrah dengan lebih mudah, telus dan berpatutan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad, bersempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ANGKASA Negeri Sarawak.
Acara tersebut turut dihadiri ratusan tetamu termasuk wakil-wakil koperator dari Miri, Limbang dan Lawas serta wakil agensi kerajaan berkaitan.
Program CoopUmrah merupakan satu usaha berimpak tinggi yang membuktikan kemampuan gerakan koperasi sebagai pemacu ekonomi ummah, menerusi penawaran pakej umrah berkualiti lengkap dengan kemudahan pembiayaan.
Antara koperasi yang memainkan peranan penting dalam inisiatif ini ialah Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (KOPERKASA) dan Koperasi Guru Bumiputera Sarawak Berhad (KOBAGUS), yang menyediakan kemudahan pembiayaan kepada anggota koperasi.
Menurut Pengerusi ANGKASA Sarawak, Wan Azizan Wan Zainal Abidin, pelaksanaan program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat berkoperasi dalam kalangan masyarakat, malah menyahut seruan fardu kifayah untuk membantu umat Islam menunaikan umrah secara lebih terancang dan terurus.
Bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah, Demak Travel Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai pengendali rasmi logistik dan perkhidmatan CoopUmrah – dari Sarawak hingga ke Tanah Suci.
ANGKASA akan terus bertindak sebagai penyelaras utama bagi pemasaran dan pelaksanaan program ini di seluruh Sarawak, di samping mengalu-alukan penyertaan lebih banyak koperasi ahli untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini.
Pelancaran ini juga menyerlahkan potensi sektor pelancongan koperasi sebagai cabang baharu dalam pembangunan ekonomi anggota, di samping memperkukuh jaringan sosial serta nilai spiritual komuniti koperasi di negeri ini.