LONDON: Declan Rice dibuang padang buat kali pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) secara kontroversi ketika Arsenal terikat 1-1 dengan Brighton, hari ini.
Pasukan bimbingan Mikel Arteta sedang mendahului melalui jaringan Kai Havertz pada separuh masa pertama namun Rice dilayangkan kad merah selepas rehat di Stadium Emirates.
Dalam satu insiden yang pelik, pemain tengah Arsenal itu mendapat kad kuning kedua kerana menendang bola dengan perlahan dan tidak berundur selepas melakukan kekasaran terhadap pemain Brighton, Joel Veltman.
Rice kelihatan bingung dengan keputusan itu, manakala Arteta meminta penjelasan daripada pegawai keempat ketika penyokong Arsenal melaungkan ‘anda tidak sesuai menjadi pengadil’ kepada Chris Kavanagh.
EPL menyatakan bahawa Rice dibuang padang kerana “melambatkan permulaan semula permainan.”
Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak dapat campur tangan kerana ia adalah kad kuning dan bukan kad merah terus.
Brighton memanfaatkan ketiadaan Rice untuk menyamakan kedudukan melalui Joao Pedro, sekali gus menamatkan permulaan 100 peratus Arsenal dalam usaha mereka untuk memenangi kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2004.
The Gunners sudah memenangi dua perlawanan pembukaan musim ini menentang Wolves dan Aston Villa, tetapi keputusan seri itu memberi tamparan pertama kepada harapan mereka untuk merampas gelaran juara dari Manchester City.
Arsenal akan beraksi tanpa Rice yang digantung perlawanan apabila mereka kembali beraksi selepas rehat antarabangsa menentang seteru utara London, Tottenham pada 15 September. – AFP
Gambar
Reaksi kecewa Declan Rice (kanan) selepas dibuang padang oleh pengadil perlawanan.