Anggota APM berjaya tangkap ular sawa batik 12 kaki 

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM berjaya menangkap seekor ular sawa batik bersaiz besar berada di dalam longkang hadapan rumah seorang penduduk di Jalan Batang Lupar, petang tadi. Foto APM Sri Aman

SIMANGGANG: Seorang penduduk di Jalan Batang Lupar, Simanggang terkejut apabila melihat seekor ular sawa batik bersaiz besar berada di dalam longkang hadapan rumahnya, petang tadi.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.06 petang daripada pengadu yang baru sahaja pulang ke rumah sebelum menyedari kehadiran reptilia tersebut.

Beliau berkata, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.

“Operasi menangkap ular mengambil masa selama 28 minit dan berjaya dilaksanakan dengan menggunakan teknik menjerut dan menyepit.

“Ular yang dikenal pasti sebagai spesies sawa batik dengan anggaran panjang 12 kaki itu kemudian dibawa keluar dari kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar,” katanya.

Kamal memberitahu pihak APM menasihatkan orang ramai agar tidak panik sekiranya menemui haiwan berbisa atau berbahaya, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Oleh Adi Safarman