KRIAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok menggerakkan 13 anggotanya bagi membantu pelaksanaan program membersihkan Rumah Ason, Tembawai Kapok Awik yang terjejas pasca banjir di sini semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata banjir di kawasan berkenaan baru-baru ini mengakibat rumah panjang tersebut ditenggelami air sehingga menyebabkan semua penghuni diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rumah Dayak Saratok.
“Pasca banjir 13 anggota APM bersama 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga turut disertai penghuni daripada Rumah Ason Tembawai Kapok sendiri telah diadakan.
“Gerak kerja pembersihan pasca banjir itu dilakukan dari segi kerja-kerja pembersihan bagi memudahkan penghuni yang terjejas untuk pulang kembali ke rumah panjang mereka tidak lama lagi.
“Gotong royong ini melibatkan kerja-kerja mencuci perabot, mencuci lantai kediaman penduduk yang disalut oleh lumpur dan sebagainya, selain mengalihkan barangan terjejas untuk dikeringkan dan kami telah melakukan pembersihan ini sehingga selesai,” katanya.
Nur Athirah berkata menerusi usaha ini pihaknya berharap sedikit sebanyak ia dapat membantu mengurangkan kesusahan penduduk rumah panjang itu bagi membersihkan rumah mereka apabila mereka diarahkan pulang nanti.
Dalam perkembangan lain, jumlah mangsa banjir di Rumah Ason, Tembawai Kapok, Awik di sini mencatatkan sedikit peningkatan apabila seorang lagi mangsa telah dipindahkan ke PPS Dewan Rumah Dayak Saratok, semalam.
Katanya, dengan penambahan seorang lagi mangsa, menjadikan jumlah di PPS itu seramai 91 orang daripada 21 keluarga setakat jam 6 petang semalam.
Nur Athirah berkata anggota APM akan terus memantau situasi semasa dengan turun padang ke kawasan terjejas dan menasihati penduduk di kawasan yang berisiko banjir untuk peka akan arahan semasa daripada pihak berwajib.
Oleh ADI SAFARMAN