
PERAK: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bintara Kanan (BK) PGM Royston Ragai mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi anak Sarawak pertama menamatkan Kursus Pengurusan Chief Petty Officer di INS Agrani, Coimbatore, India.
Royston, yang berasal dari Rumah Lim, Metong Roban, Sarawak, menamatkan kursus selama lima minggu itu yang berlangsung dari 15 Mac hingga 9 April lepas.

Beliau kini berkhidmat sebagai Bintara Kanan, Buffer Pancaragam Pusat di Markas Pangkalan Lumut (MPL), Pangkalan TLDM Lumut, Perak, sejak menyertai perkhidmatan TLDM pada Ogos 2007.
Kejayaan Royston diumumkan menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi Pancaragam Pusat TLDM baru-baru ini.
Berkongsi pengalamannya, Royston berkata kursus berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan dalam aspek teori dan praktikal pengurusan pancaragam, malah mencabar ketahanan mental dan fizikal dalam suasana latihan yang berbeza di India.
“Saya terpaksa menjalani latihan teori dan praktikal dalam bidang tersebut serta menyiapkan laporan dalam masa yang sangat singkat,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurutnya, penyertaan dalam kursus itu turut membuka peluang untuk berinteraksi dengan peserta antarabangsa dari pelbagai latar belakang, sekali gus memperkayakan ilmu dan pengalamannya dalam bidang pancaragam tentera laut.
“Saya sentiasa berminat dalam bidang muzik kerana ia merupakan komponen penting dalam organisasi TLDM, khususnya dalam upacara rasmi dan adat ketenteraan.
“Penyertaan ini merupakan satu pengalaman transformatif yang membuka ruang besar dalam memperkasakan peranan TLDM di peringkat antarabangsa, khususnya dalam arena pancaragam,” katanya.
Beliau turut menyifatkan peluang mengikuti kursus di luar negara sebagai satu landasan terbaik untuk menimba ilmu dan pengalaman, selain menyumbang kepada pembangunan profesionalisme anggota TLDM.
Dalam pada itu, Royston berharap kejayaannya dapat menjadi dorongan kepada golongan belia, khususnya anak Sarawak, untuk terus bergiat aktif dan berusaha gigih dalam bidang tersebut.
“Terdapat banyak cara kita boleh berjaya bukan sahaja dalam kerja tetapi juga apabila kita dipilih untuk mengikuti kursus.
“TLDM sentiasa memberi peluang kepada anggotanya untuk menyerlah dalam pelbagai aspek,” katanya.
Oleh Tarani Lanting