KEBANGGAAN… Daeloniel McDelon muncul juara pada Kejohanan Tinju Profesional Pakistan
PENINJU tunggal Malaysia, Daeloniel McDelon mengharumkan nama negara dan Sarawak amnya apabila berjaya muncul juara pada Kejohanan Tinju Profesional Pakistan, kelmarin.
Petinju berasal dari Sri Aman, Sarawak itu menewaskan peninju tuan rumah, Sikender Abbasi menerusi pukulan technical knock out (TKO) dalam kategori 57 kilogram (kg).
Daeloniel, 23, merupakan satu-satunya petinju yang mewakili Malaysia untuk menyertai acara itu yang diadakan pada 11 Jun lalu di Stadium Lalak Jan di bandar Gilgit-Baltistan.
Kejohanan itu turut menampilkan peserta dari negara Indonesia, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan Nigeria.
Beliau berkata kemenangan TKO pada pusingan ke-3 dan menjadi juara adalah pengalaman yang sangat berharga diperolehi olehnya.
“Saya melalui persiapan dan latihan rapi sebelum acara ini kerana Sikendar mempunyai rekod tinju yang cemerlang sepanjang kariernya.
“Dalam perlawanan itu, saya pada mulanya tertekan dengan sorakan padu tuan rumah yang menyokong pihak lawan, namun saya berjaya menyerap tekanan ini sehingga menjadi juara,” ujarnya.
Daeloniel mengucapkan terima kasih kepada Brico Langbay Santig dari Highland Boxing Promotions dan UW Boxing Promotions yang mempercayai serta kemampuannya dengan memberi peluang untuk beliau bertarung dalam acara antarabangsa tersebut.
“Terima kasih juga saya tujukan kepada jurulatih Wilbur Andogan dan Sapok Biki, rakan sparring, penaja iaitu Datuk Dzoolcarnine Ahmad Lek dan Sharon Bribrosh dari Persatuan Tinju Kuching, Jurulatih Ting (SMK Serian) dan M. Irfan dari Boxing Gym (Brunei) atas sumbangan mereka serta ahli keluarga dan rakan-rakan saya yang telah memberikan kata-katan semangat dan sokongan kepada saya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Daeloniel pernah memenangi pingat emas di Kejohanan Tinju Zon Borneo 2015, pingat emas di Kejohanan Tinju Profesional Jakarta 2016, pingat emas di Kejohanan Tinju Profesional Mayor Cup Johor 2018, pingat emas di Kejohanan Tinju Kebangsaan Piala Malaysia Edisi 2019-2021 dan pingat emas di Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia dan Sukan pada tahun ini.
Oleh ADI SAFARMAN