KUCHING: Anak pesara polis tidak ketinggalan apabila turut layak menerima bantuan pendidikan melalui Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) yang ditubuhkan sejak 2014.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sebanyak RM3,000 bantuan kewangan sekali beri diperuntukkan kepada anak pesara polis yang bakal melanjutkan pelajaran ataupun mereka yang mengalami masalah kewangan dalam bidang pendidikan.
“Bantuan pendidikan itu merupakan salah satu kategori bantuan yang ada dalam Tabung TAWP.
“Bagaimanapun mereka perlu mengemukakan permohonan dengan mengisi borang serta mengemukakan dokumen lengkap kepada ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di negeri masing-masing terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan Asnaf dan Pesara Polis di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini semalam.
Tambah Mazlan, empat kategori bantuan lain dalam Tabung TAWP ialah Bantuan Pengurusan Jenayah sebanyak RM1,500, Bantuan Pergerakkan dengan kadar pemberian maksimum RM1,000, Bantuan Perubatan maksimum diberikan kepada pemohon sebanyak RM5,000 serta Bantuan Bencana Alam maksimum pemberian bantuan sebanyak RM10,000.
Ujarnya, semua bantuan itu diberikan secara sekali beri kepada pemohon yang merupakan asnaf dan ahli keluarga pesara polis ataupun pesara itu sendiri bagi meringankan beban mereka terutama golongan yang sangat terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurut Mazlan, masih ramai pesara polis di negara ini tidak mengetahui kewujudan Tabung TAWP dan disebabkan itu, beliau menyeru agar orang ramai menguar-uarkan peranan Tabung TAWP kepada pesara polis yang lain.
“Setakat ini, lebih 1,675 anggota polis menerima manfaat daripada bantuan tabung berkenaan dengan peruntukkan sebanyak RM3.25 juta, manakala di Sarawak kita telah menerima 45 permohonan dan semuanya telah diluluskan melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM97,000.
“Namun, masih ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu cara permohonan atau tidak tahu maklumat lanjut berhubung tabung tersebut.
“Justeru, mereka disarankan untuk menghubungi pegawai yang bertugas di talian 0322668387 atau layari laman web epesara.rmp.gov.my,” katanya sambil mendedahkan seramai 4,328 pesara polis di Sarawak dilaporkan setakat ini.
Pada program itu, seramai 38 penerima terdiri daripada 20 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), 17 pesara PDRM termasuk seorang anak yatim telah menerima sumbangan bakul makanan yang disumbangkan oleh Kiosk Rezeki Masjid Bukit Aman.
Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Datuk Mancha Ata, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), DCP Sulaiman Yahya dan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Kasuahdi Ali.
Oleh SYAMIMI HUSNA