SELANGAU: Cadangan mewujudkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu Bukit Arip dalam Parlimen P.214 Selangau perlu diberi pertimbangan serius oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan pembangunan, pentadbiran dan perwakilan yang lebih berkesan kepada masyarakat luar bandar.
Naib Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Kakus, Dr Ricky Lawe, berkata cadangan tersebut bukan berasaskan kepentingan politik kepartian, sebaliknya berpaksikan realiti geografi, keluasan kawasan, akses rakyat kepada perkhidmatan serta keadilan dalam sistem perwakilan.
Menurutnya, keluasan Parlimen Selangau yang mencecah kira-kira 9,193 kilometer persegi dengan hanya dua kawasan DUN, iaitu Tamin dan Kakus, menunjukkan keperluan untuk menilai semula struktur perwakilan sedia ada.
“Di kawasan pedalaman Sarawak, kita perlu melihat sejauh mana rakyat tinggal dari pusat pentadbiran, tempoh perjalanan, keadaan jalan, sungai, topografi serta taburan rumah panjang yang memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, DUN Kakus meliputi sekitar 5,701 kilometer persegi, manakala Tamin kira-kira 3,492 kilometer persegi, sekali gus menjadikan cabaran penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar lebih kompleks.
Dr Ricky menjelaskan bahawa prinsip persempadanan SPR di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan turut mengambil kira faktor keluasan kawasan luar bandar, kesukaran untuk sampai kepada pemilih, kemudahan pentadbiran dan kepentingan hubungan setempat.
Katanya, faktor seperti geografi, topografi, saiz kawasan, pembangunan baharu, infrastruktur serta akses rakyat kepada perkhidmatan wakil rakyat yang turut disentuh dalam penjelasan di Parlimen pada Jun lalu memberi asas kukuh untuk menilai Bukit Arip sebagai sebuah DUN baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata cadangan tersebut juga selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan keterangkuman sosial, pembangunan infrastruktur dan peningkatan akses masyarakat luar bandar kepada peluang pembangunan.
“Kalau kita mahu PCDS 2030 benar-benar sampai ke pedalaman, masyarakat rumah panjang yang jauh dari pusat bandar mesti mempunyai akses yang lebih berkesan kepada pentadbiran, pembangunan dan perwakilan,” katanya.
Beliau menambah, kewujudan DUN Bukit Arip akan membolehkan keperluan infrastruktur seperti jalan raya, telekomunikasi, bekalan elektrik dan air serta pembangunan sektor pertanian dipantau dengan lebih sistematik.
Katanya, langkah itu sekali gus dapat memperkukuh agenda keterjaminan makanan, agroekonomi dan peningkatan pendapatan masyarakat.
Sehubungan itu, Dr Ricky menyeru SPR supaya meneliti cadangan berkenaan secara menyeluruh dan berasaskan fakta kerana matlamat utama pewujudan DUN Bukit Arip adalah untuk mendekatkan pembangunan, pentadbiran dan demokrasi kepada rakyat di kawasan pedalaman.
Oleh Tarani Lanting





