BAU: Pengurusan keselamatan sempadan di daerah Bau diberi perhatian menerusi lawatan kerja Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah ke daerah berkenaan semalam.
Ketua Polis Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, lawatan itu diadakan sempena Lawatan Penanda Aras Pengurusan Sempadan serta Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Perak ke Sarawak.
Beliau berkata, rombongan turut meninjau Tapak Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin serta kawasan Pasar Serikin yang merupakan lokasi penting dalam aspek pengurusan dan kawalan pergerakan di kawasan sempadan Sarawak.
“Lawatan seperti ini bukan sahaja penting untuk meninjau perkembangan pembangunan fizikal, malah turut menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik, perkongsian pengalaman dan pemahaman bersama berkaitan keselamatan serta pengurusan sempadan,” katanya.
Mohd Haide berkata keselamatan sempadan kekal menjadi keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala kerjasama berterusan antara agensi amat penting bagi memastikan kawasan sempadan sentiasa selamat, terkawal dan kondusif untuk masyarakat setempat.
Beliau berkata IPD Bau berbesar hati menerima kunjungan berkenaan dan berharap ia terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik demi keselamatan negeri serta kesejahteraan rakyat.





