KOTA SAMARAHAN: Anak muda di Samarahan mengharapkan Ahli Parlimennya, Datuk Rubiah Wang menumpukan usaha mengatasi masalah kesesakan di kota ilmu itu.
Mira Heqya Briki, 23, (gambar) yang pertama kali mengundi semalam berkata Rubiah perlu menitikberatkan soal itu demi keselesaan orang ramai.
“Bukan semata-mata melihat apa yang rakyat mahukan tapi lihat juga pembangunan infrastruktur di sini yang bagi saya belum lagi mencapai tahap yang baik.
“Ini lebih-lebih lagi keadaan kesesakan jalan raya di kawasan ini. Saya sebagai belia mahu perkara ini diberi perhatian,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.
Rubiah diberi mandat sekali lagi apabila mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Abang Halil Abang Naili, dengan majoriti besar 29,445 undi.
Rubiah memperoleh 42,278 undi menewaskan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak itu, seorang pesara, yang mendapat hanya 12,833 undi.
Mira berkata, mandat rakyat itu harus digunakan sebaik mungkin oleh Rubiah demi kepercayaan masyarakat Kota Samarahan dan kemajuan di kawasan itu.
“Ini adalah peluang yang baik bagi membangunkan Kota Samarahan ke arah yang lebih baik lagi.
“Saya harap beliau dapat memfokuskan apa yang rakyat di sini mahukan,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN