LONDON: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, menegaskan hasrat untuk mengekalkan Marcus Rashford dalam skuadnya selepas penyerang itu memberi bayangan mahu meninggalkan Old Trafford untuk mencari ‘cabaran baharu’.
Pemain berusia 27 tahun itu, yang diketepikan dalam aksi tetangga menentang Manchester City hujung minggu lalu, adalah produk akademi United dan menjaringkan 138 gol dalam 426 penampilan sejak debut pada 2016.
Namun, prestasi Rashford merosot sejak 18 bulan lalu, hingga menyebabkan dia terkeluar daripada skuad England untuk Euro pada musim panas lalu.
Keputusan berani Amorim untuk tidak menyenaraikan Rashford dalam aksi menentang City diikuti dengan wawancara pemain itu bersama wartawan British, Henry Winter, di media sosial pada Selasa.
Dalam temu bual itu, Rashford mendedahkan bahawa dia bersedia menamatkan hubungan 20 tahunnya dengan United.
Kenyataan Rashford itu diajukan kepada Amorim dalam sidang media yang sepatutnya memfokuskan kepada perlawanan suku akhir Piala Liga menentang Tottenham.
“Tidak (saya belum bercakap dengannya). Belum lagi. Semalam saya beri cuti kepada pemain, jadi dia masih pemain kami dan dia bersedia untuk perlawanan seterusnya.”
Apabila ditanya jika beliau mahu Rashford kekal dalam skuad, Amorim yang baru tiba di Old Trafford menjawab: “Sudah tentu, kerana kelab seperti ini memerlukan bakat besar, dan dia adalah bakat besar.
“Dia hanya perlu bermain di tahap tertinggi, dan itu adalah fokus saya. Saya hanya mahu membantu Marcus.”
Amorim turut menambah, cabaran baharu yang disebut Rashford itu sebenarnya boleh dicapai di Old Trafford dengan usaha menghidupkan semula kegemilangan United, yang suatu ketika dulu kuasa besar bola sepak England, tetapi kini terperosok di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris.
“Kami sudah ada cabaran baharu di sini, ia bukan mudah,” katanya.
“Bagi saya, ini adalah cabaran terbesar dalam bola sepak kerana kami sedang berada dalam situasi yang sukar dan saya sudah katakan, ini adalah salah satu kelab terbesar di dunia.
“Jadi, ini adalah cabaran yang benar-benar baharu dan paling besar. Saya harap semua pemain saya bersedia untuk cabaran baharu ini.” – AFP