SARIKEI: Pendekatan amalan berdasarkan konsep muqarabah perlu dimiliki dan difahami oleh umat Islam.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, muqarabah dalam Islam adalah bermaksud untuk berkhidmat dan memberikan khidmat supaya dapat memberi kesan dalam corak hidup masyarakat.
“Orang Islam perlu memahami dan mempunyai semangat muqarabah. Dalam konsep Islam ia menjadi tanggungjawab orang Islam ini untuk membantu orang Islam dan bukan Islam.
“Inilah konsep yang kita mahu…sebab itu kita tubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Bukan sahaja kita membantu umat Islam kita sendiri supaya mereka dapat beribadah dengan sempurna, malah juga kepada agama lain supaya mereka juga bertanggungjawab atas kemakmuran umat manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikam naik taraf Masjid Al-Muttaqin, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, pada masa kini, satu cabaran yang diwujudkan juga diwujudkan oleh manusia iaitu perubahan iklim.
“Kenapa kita ada masalah dengan perubahan iklim?…ini kerana manusia itu sendiri tidak mengambil tahu dengan kesannya.
“Maknanya, apabila pembangunan terlalu ekstrem dengan tidak mengambil kira kesan kepada alam sekitar. Hari ini kita berhadapan dengan keadaan iklim yang sudah berubah terlalu panas,” katanya.
Beliau berkata pembangunan perlu mempunyai kesimbangan di antara alam sekitar dan manusia.
“Ini kerana…kalau tak ada oksigen, bagaimana nak hidup, kerana oksigen datang daripada tumbuh-tumbuhan.
“Apabila kita tak jaga alam sekitar, ini yang dihadapi oleh manusia.
“Alhamdulillah, atas semangat muqarabah ini, kerajaan Sarawak menumpukan perhatian dalam pembangunan menjagakan alam sekitar,” katanya.
Abang Johari berkata, hingga hari ini Sarawak dikenali seluruh dunia nengenai dasar kerajaan Sarawak menyeimbangkan alam sekitar dengan pembangunan.
“Sebab itulah keluar hidrogen ini…negeri lain tidak mengeluarkan hidrogen. Sarawak yang utama di dunia yang menumpukan kepada pengeluaran hidrogen…tenaga yang boleh diperbaharui dengan menggunakan ilmu sains.
“Semalam saya di Batang Ai, melihat kuasa elektrik keluar daripada panel solar.
“Batang Ai mempunyai keluasan 8,500 hektar…kita baru mencuba 86 hektar mengeluarkan kuasa elektrik 50 megawatt,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau meluluskan peruntukan tambahan RM1.5 juta untuk menaik taraf pagar Masjid Al-Muttaqin.
Turut hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar; Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii; Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.
Oleh Earl Anek