LAWAS: Penduduk kampung perlu terus mengamalkan kesepakatan antara mereka dan bukannya mengikut kepala masing-masing.
Hanya melalui kesepakatan sahaja akan memudahkan segala perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan menegaskan sikap membawa pemikiran sendiri tanpa kesepakatan akan hanya membawa kepada perpecahan yang merosakkan kampung mereka sendiri.
Oleh itu masyarakat kampung perlu terus memelihara budaya kesepakatan dalam organisasi kampung dan komuniti mereka.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak mengingatkan demikian pada sesi program Muafakat Kampung di Kampung Luagan Seberang Lawas baru-baru ini.
Seterusnya beliau menyeru agar rakyat di kampung untuk turut serta dalam berbagai program kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meningkatkan pendapatan.
Ini melibatkan aktiviti pertanian, ternakan mahupun perikanan walaupun dalam lingkungan kawasan kecil.
Segalanya dapat diusahakan melalui pendekatan teknologi moden yang telah terbukti mampu meningkatkan hasil dan produktiviti mereka yang terlibat.
Pada masa yang sama, kerjasama dengan agensi kerajaan perlu dipertingkatkan untuk membimbing mereka agar mampu terlibat dalam aktiviti pertanian atau ternakan yang sesuai di kawasan masing-masing.
Pada majlis berkenaan Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari mengumumkan peruntukan bagi pembersihan tebingan sungai Lawas di Kampung Luagan Lawas berjumlah RM20 ribu tahun hadapan.
Ini diikuti RM100 ribu untuk membaik pulih surau Kampung Luagan Lawas yang juga akan diperuntukkan tahun hadapan.
Bagi kampung Mission Lawas pula, Awang Tengah memaklumkan bahawa kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei setuju memberi keutamaan projek pembesaran Kamping Mission yang terancam dengan hakisan tebingan sungai.
Turut hadir, Timbalan Presiden SABATI, Dato Hajah Dayang Morliah Datuk Haji Awang Daud, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah NRDA, Datu Ubaidillah Latip, Pengarah UKAS Samat Junai, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Tadbir UKAS, Datu Takun Sunggah dan kenamaan lainnya.
Oleh ADENG EDRUS