
KUALA LUMPUR: Alunan merdu alat muzik tradisional Sarawak, sape, bukan sekadar persembahan kebudayaan semata-mata, tetapi juga sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Pengurus Yayasan Perpaduan Sarawak Roslin Latip berkata, melalui Borneo Native Festival (BNF) pengunjung berpeluang mempelajari cara bermain sape.
“Pengunjung dari dalam dan luar negara bukan hanya berpeluang belajar bermain alat muzik tradisional, malah dapat mengenali serba sedikit tentang budaya masyarakat Sarawak.

“Kita tahu di Kuala Lumpur pun ada orang mengajar cara bermain sape tapi, ia terhad. Itu sebabnya melalui festival sebegini kita mengadakan kelas belajar bermain sape selain mengajar pengunjung bahasa Sarawak,” katanya kepada Bernama.
Roslin berkata sejak hari pertama BNF semalam, ruang pameran mereka antara yang menjadi tumpuan pengunjung susulan alunan muzik yang memenuhi ruang pameran festival itu.
Beliau berkata, peryertaan dalam BNF bertujuan memperkenalkan budaya tradisional negeri itu bukan sahaja kepada rakyat di Semenanjung, malah kepada pelancong dari negara lain yang berkunjung ke festival berkenaan.
Berkongsi mengenai keunikan sape, Roslin berkata, pada asalnya alat muzik itu digunakan oleh masyarakat Orang Ulu di Sarawak untuk tujuan rawatan perubatan.
“Pada masa itu, komuniti Orang Ulu agak daif dan tinggal di hutan jadi mereka menghasilkan sape yang menghasilkan muzik yang menenangkan untuk tujuan perubatan.
“Namun, seiring dengan peredaran zaman, sape mula digunakan dalam bentuk persembahan kebudayaan serta dimasukkan dalam muzik kontemporari,” katanya.
Biarpun penggunaan alat muzik tradisional itu kini dipelbagaikan, mereka masih mengekalkan elemen tradisional bagi memastikan keaslian alunan muzik sape terus terpelihara.
BNF 2026 yang berlangsung di Pasar Seni dari 22 hingga 24 Mei ini adalah acara tahunan anjuran Persatuan Sukaseni Kuala Lumpur (Sukaseni) bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak. – Bernama