SIBU, 11 Oktober: Persatuan alumni digesa memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu pembangunan sekolah dan tidak hanya menjadi platform pertemuan serta mengeratkan hubungan sesama bekas pelajar.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, persatuan alumni seharusnya menjadi jambatan penting antara sekolah dengan masyarakat dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan.
Menurutnya, setiap alumni mempunyai kepakaran, pengalaman dan kemampuan tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk membantu sekolah serta membimbing generasi pelajar seterusnya.
“Persatuan alumni tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aktiviti perjumpaan atau mengeratkan hubungan sesama ahli, sebaliknya perlu lebih aktif mengambil berat terhadap pembangunan dan cabaran yang dihadapi sekolah.
“Kita tidak boleh menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pembangunan sekolah dan pendidikan pelajar kepada kerajaan serta pihak sekolah semata-mata,”ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbarnya, Ross Sia Wan Teng, yang mewakilinya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-110 Sekolah Chung Hua dan Angkat SumpahPelantikan Ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni Chung Hua Penggal Ke-32 di sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, kejayaan sekolah itu mencapai usia 110 tahun merupakan hasil komitmen dan pengorbanan berterusan warga pendidik, lembaga pengurusan sekolah, alumni, ibu bapa serta masyarakat.
Katanya, nilai sebenar pendidikan bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik, tetapi turut membentuk individu yang mempunyai rasa tanggungjawab dan kesediaan berkhidmat kepada masyarakat.
Beliau berkata, perubahan berterusan dalam sistem pendidikan, termasuk kurikulum, buku teks dan kaedah pengajaran, turut memberikan cabaran kepada guru serta pihak sekolah.
“Justeru sokongan semua pihak amat penting bagi membantu golongan pendidik menyesuaikan diri dengan perubahan berkenaan,” katanya.
Pada majlis tersebut, Ross bagi pihak Tiong mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menyokong pembangunan Sekolah Chung Hua.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan merangkap Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Sibu, Dato Sri Wong Soon Koh, Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, Pengerusi Persatuan Alumni Chung Hua merangkap Ahli Lembaga Sekolah, Datuk Teo Boon Siew serta yang lain.
Oleh Akun Giman




