BERLIN: Xabi Alonso akan kembali ke Anfield buat kali pertama, Rabu ini, apabila Bayer Leverkusen di bawah bimbingannya berhadapan dengan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara, trofi di mana beliau pernah membantu The Reds memenanginya pada 2005.
Alonso pernah bermain 210 perlawanan untuk Liverpool dari 2004 hingga 2009, dengan detik paling gemilang ialah kebangkitan menakjubkan pada final Liga Juara-Juara menentang AC Milan di Istanbul.
Dalam perlawanan itu, pemain Sepanyol itu menjaringkan gol ketiga Liverpool dalam masa tujuh minit untuk menyamakan kedudukan 3-3 sebelum mereka muncul juara menerusi penentuan penalti.
Alonso, 42, masih sangat disayangi oleh penyokong Liverpool dan mungkin sudah membimbing kelab itu.
Musim lalu, selepas keputusan mengejut Jurgen Klopp untuk meninggalkan kelab, penyokong Liverpool – yang menyedari prestasi cemerlang Alonso di Leverkusen – berharap beliau akan kembali ke Merseyside.
Namun, Alonso menolak minat yang dilaporkan dari Liverpool, begitu juga dengan bekas kelabnya, Real Madrid dan Bayern Munich, untuk kekal di Leverkusen, yang dibimbingnya dalam persaingan merebut gelaran liga tertinggi Jerman buat kali pertama.
Selepas keputusan seri tanpa jaringan dengan Stuttgart, Jumaat lalu, Alonso berkata tidak sabar untuk kembali ke Anfield.
“Liga Juara-Juara di Anfield? Tak ada yang lebih baik daripada itu. Perlawanan ini sangat bermakna bagi saya. Ia akan menjadi perlawanan besar.
“Beraksi di Liga Juara-Juara, di Anfield, sukar untuk mendapat pengalaman yang lebih baik daripada itu. Atmosferanya hebat. Liverpool adalah salah satu pasukan terbaik di Eropah ketika ini,” katanya.
Rasa kesal di kalangan penyokong Liverpool kerana terlepas peluang mendapatkan Alonso mungkin sudah reda, terutama dengan permulaan cemerlang di bawah jurulatih baharu dari Belanda, Arne Slot.
Dengan 13 kemenangan dan satu keputusan seri daripada 15 perlawanan – menjadikannya permulaan terbaik bagi mana-mana pengurus baharu Reds – Slot berjaya membawa Liverpool ke puncak carta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Di pentas Eropah pula, Liverpool bersama Aston Villa adalah dua pasukan yang sudah memenangi tiga perlawanan pertama mereka. – AFP