All England 2026: Aaron-Wooi Yik bakal bertemu rakan senegara Wei Chong-Kai Wun pada suku akhir

Facebook
WhatsApp
Aaron-Wooi Yik

KUALA LUMPUR: Malaysia sekurang-kurangnya mengesahkan satu tempat pada separuh akhir kejohanan All England 2026 selepas naib juara dua kali Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijadual berdepan rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi suku akhir di Birmingham, hari ini.

Dalam aksi pusingan kedua di Utilita Arena Birmingham pada Khamis, pasangan pilihan kedua Aaron-Wooi Yik berdepan cabaran sengit daripada rakan sepasukan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King sebelum menang 21-18, 15-21, 21-18 dalam pertarungan selama 63 minit.

Wei Chong-Kai Wun yang juga pasangan pilihan keenam kejohanan, menempah tempat ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin 21-14, 21-18 dalam masa 33 minit.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik memiliki sedikit kelebihan ke atas Wei Chong-Kai Wun selepas memenangi empat daripada tujuh perlawanan sebelum ini.

Wei Chong-Kai Wun  

Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikan satu lagi perlawanan melibatkan rakan senegara pada suku akhir tidak kesampaian apabila pasangan pilihan kelapan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, serta juara dunia remaja 2024 Kang Khai Xing-Aaron Tai tersingkir daripada kejohanan badminton tertua di dunia itu.

Sze Fei-Izzuddin tewas 21-23, 16-21 kepada pasangan Indonesia Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat, manakala Khai Xing-Aaron Tai kecundang kepada pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi 19-21, 17-21.

Dalam acara beregu wanita, pasangan utama negara yang juga pilihan kedua Pearly Tan-M. Thinaah mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Korea Selatan Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo 21-14, 21-14 dalam masa 43 minit.

Pearly-Thinaah bakal berdepan pasangan Indonesia yang tidak diletakkan sebagai pilihan, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Pasangan Indonesia itu mara ke pusingan seterusnya selepas mengejutkan pasangan pilihan keenam dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-11, 18-21, 21-17.

Terdahulu, cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki dan beregu campuran berakhir selepas Leong Jun Hao serta pasangan suami isteri Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas kepada lawan masing-masing.

Jun Hao tewas 9-21, 13-21 kepada pemain Jepun Koki Watanabe, manakala Soon Huat-Shevon tersingkir selepas dikalahkan pasangan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 16-21, 18-21. – Bernama