SKUAD Hermanos FC tetap melihat ia sebagai satu permulaan baik kerana berjaya meraih satu mata pada aksi pertama dalam kempen Liga Betong 2022 kali ini.
PASUKAN serba muda, Hermanos FC sekadar meraih satu mata apabila hanya mampu seri 1-1 menentang GMP FC dalam saingan Liga Betong 2022 di Kompleks Sukan Betong, petang kelmarin.
Turun dengan kesebelasan terbaik mereka, menyaksikan skuad Hermanos FC pimpinan Beritin Empawi itu bermula garang pada awal babak perlawanan dengan serangan bertali arus ke atas gawang gol pasukan GMP FC.
Penyerang GMP FC, Simon berjaya mengejutkan pasukan lawan apabila menjaringkan gol pada minit ke-7. Tersentak dengan jaringan itu, para pemain Hermanos FC seakan-akan tidak mahu tunduk mengalah dengan kerap melakukan beberapa serangan bahaya ke kubu GMP FC.
Nasib lebih menyebelahi Hermanos FC menerusi penyerangnya, Bansing Kaay berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-58 apabila menjaringkan gol penyamaan buat pasukannya dan keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga tiupan wisel penamat.
Pengurus Hermanios FC, Marky Andyson berkata beliau tetap melihat ia sebagai satu permulaan baik kerana tetap meraih satu mata pada aksi pertama mereka.
Beliau menyifatkan perlawanan petang itu adalah seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menyerang dan masing-masing berjaya mencipta banyak peluang jaringan.
“Pemain saya telah melaksanakan tugas dengan baik seperti a yang dirancang, dan saya anggap keputusan seri pada aksi pertama petang itu menepati dengan apa yang mereka persembahkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, aksi kedua Hermanos FC selepas ini bakal menanti kunjungan Loy 69 Mangut esok, jam 4.00 petang di Kompleks Sukan Betong.
Oleh ADI SAFARMAN