
KUALA LUMPUR: Peranan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) semakin penting dalam menyatukan rakyat dan memperkukuh semangat kenegaraan ketika negara berdepan tekanan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata Malaysia tidak terkecuali berdepan pelbagai cabaran susulan krisis berkenaan, termasuk tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan hingga berisiko menjejaskan kestabilan negara.
“Dalam keadaan kita dicengkam oleh masalah krisis global ini, kita tidak mahu ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan sehingga menimbulkan perpecahan dan ketidakstabilan.
“ (Di siniah pentingnya) AKM satunya, dalam membina negara serta menyemarakkan semangat kenegaraan, terutama ketika berdepan krisis (bekalan) global (seperti) ini, bagi merangkul semua rakyat Malaysia (untuk memahami usaha) kerajaan menangani isu ini,” katanya kepada media selepas merasmikan AKM Wilayah Persekutuan Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan program yang tersusun oleh AKM mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan integrasi nasional, sekali gus merapatkan jurang persefahaman dan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Mustapha dalam ucapannya berkata inisiatif AKM menerusi Gelombang Aku Kasih Malaysia yang dilancarkan 3 April lepas, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh nilai kemanusiaan, keharmonian serta perpaduan rakyat.
Beliau berkata melalui kerangka Malaysia MADANI, pembangunan negara bukan sahaja dilihat dari sudut ekonomi, tetapi turut menitikberatkan aspek berkenaan.
“Saya menyokong inisiatif gerakan Gelombang Aku Kasih Malaysia dengan kolaboratif bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Komunikasi Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perpaduan Negara dan Perbadanan Putrajaya.
“Inisiatif gerakan Gelombang Aku Kasih Malaysia ini juga akan melibatkan kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri bagi menyemarakkan Gelombang Aku Kasih Malaysia. Ini ialah inisiatif secara kolektif yang murni dan perlu diperkembang ke semua kementerian,” katanya.
AKM, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab melaksanakan, dan menyelaras latihan kenegaraan serta kepimpinan di seluruh negara, selain memperkasakan usaha memupuk semangat patriotisme, disiplin dan integriti dalam kalangan rakyat melalui pendekatan latihan yang lebih tersusun, sistematik dan berfokus. – Bernama