
KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak terus memperkukuh perbincangan mengenai keterangkuman dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) apabila wakil akademiknya, Profesor Madya Dr Miko Chang May Lee, berkongsi pandangan pada Forum Makan Malam Women & Girls in Science 2026, baru-baru ini.
Forum anjuran British High Commission Kuala Lumpur itu berlangsung di DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu, menghimpunkan pemimpin dari sektor akademia, industri dan kerajaan bagi membincangkan cabaran utama dalam STEM, khususnya faktor wanita meninggalkan bidang tersebut serta usaha mengekalkan penyertaan mereka.
Majlis berkenaan diserikan kehadiran Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma, sekali gus mencerminkan kerjasama erat United Kingdom-Malaysia dalam memajukan pembangunan STEM yang inklusif dan mampan.

Ucapan alu-aluan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato Dr Nagulendran Kangayatkarasu menekankan kemajuan Malaysia dalam memperkasa penyertaan STEM, di samping menggesa usaha bersepadu bagi memastikan pengekalan dan kemajuan wanita dalam bidang tersebut.
Dr Miko Chang, yang juga Ketua Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Swinburne Sarawak, merupakan antara empat ahli panel utama dalam sesi bertajuk ‘Why Women Quit STEM’ yang memberi fokus kepada strategi praktikal merangkumi pendidikan, dasar dan industri.
Beliau berkongsi pengalaman kerjayanya sebagai anak Sarawak yang menerima pendidikan awal di Kuching sebelum melanjutkan pengajian ke National University of Singapore hingga ke peringkat doktor falsafah, selain menimba pengalaman profesional di Singapura, Australia, United Kingdom dan Switzerland sebelum kembali berkhidmat di tanah air.
Berdasarkan pengalaman tersebut, beliau menekankan tiga keutamaan utama iaitu meningkatkan pengekalan wanita melepasi peringkat awal kerjaya, menyokong peralihan kehidupan termasuk peranan sebagai ibu, serta memastikan laluan kepimpinan yang adil.
Beliau turut menegaskan peluang unik di Malaysia Timur untuk merangka model akademik lebih fleksibel dan inklusif melalui penggunaan teknologi digital serta pendekatan kerja baharu seperti Integrated Work Arrangement di Swinburne Sarawak.
“Walaupun mudah untuk berputus asa, keberanian membentuk masa depan amat penting. Ramai wanita dalam STEM masih berdepan cabaran seperti bias dan tanggungjawab penjagaan keluarga yang mengehadkan kemajuan ke peringkat kepimpinan,” katanya.
Beliau menambah, sebagai wanita dalam STEM dan ibu kepada dua anak, usaha perlu dipertingkat agar generasi akan datang mampu mengimbangi peranan sebagai ibu dan pemimpin.
Perbincangan tersebut menekankan keperluan akauntabiliti institusi, sistem sokongan lebih kukuh serta peranan aktif lelaki dan wanita dalam memacu perubahan. Walaupun Malaysia mempunyai rangka dasar yang baik, kejayaan bergantung kepada pelaksanaan berkesan serta perubahan minda dan budaya.
Forum itu diakhiri dengan komitmen bersama untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan wanita dalam STEM terus berkembang, memimpin dan berjaya di semua peringkat kerjaya, selain meningkatkan penyertaan mereka dalam jawatan kepimpinan tertinggi.
Turut serta dalam panel, Dr Rebecca Tay, Ketua Pegawai Eksekutif Precision Diagnostics; Dr Devaki Nagaya dari Talent Corporation Malaysia Berhad; serta Profesor Dr Fatin Aliah Phang Abdullah dari Universiti Teknologi Malaysia yang masing-masing membawa perspektif berbeza dalam sektor STEM.
Oleh Norman B