
KUALA LUMPUR: Airbus melihat Sarawak mempunyai potensi besar dalam usahanya bukan sahaja sebagai hab penerbangan domestik, malah sebagai hab penerbangan serantau dalam persekitaran perkembangan positif mengenai penubuhan AirBorneo.
Presiden Airbus Asia-Pasifik Anand Stanley berkata syarikat pengeluar pesawat itu optimis terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang Sarawak dan menyatakan sokongan kukuh terhadap usaha itu terutama dalam sektor penerbangan dan industri berkaitan.
“Apa yang boleh saya katakan adalah Airbus teruja dengan potensi pertumbuhan Sarawak sebagai hab penerbangan serantau,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama hari ini.
Beliau berkata usaha strategik Sarawak bukan sahaja tertumpu kepada hubungan domestik malah peranan yang lebih besar dalam penerbangan serantau.
“Airbus menyambut baik apa-apa strategi yang ditekankan untuk membangunkan Sarawak bukan sahaja sebagai hab penerbangan domestik malah penerbangan serantau, termasuk sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembangunan modal insan serta akses yang luas terhadap potensi tenaga mampan,” katanya.
Menurut Stanley, Airbus turut terbuka untuk bekerjasama dalam pembangunan sektor penerbangan Sarawak.
“Kami di Airbus bersedia untuk turut serta dalam pembangunan strategi ini terutama berkaitan Sarawak sebagai hab,” katanya.
Ketika ditanya sama ada terdapat sebarang perbincangan mengenai kerjasama dengan AirBorneo, Stanley tidak berkongsi butiran lanjut mengenainya.
AirBorneo, syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan lengkap milik kerajaan negeri Sarawak memulakan penerbangan sulung pada 2 Januari dan mempunyai 14 pesawat, termasuk lapan ATR dan enam Twin Otter.
Syarikat penerbangan itu ketika ini mengendalikan penerbangan ke 23 destinasi, dengan lima pesawat ATR berpangkalan di Kota Kinabalu, dua ATR dan lima Twin Otter beroperasi dari Miri serta masing-masing satu ATR dan Twin Otter dari Kuching. – Bernama