

MUNICH: Airbus dan pengeluar enjin MTU merancang untuk membangunkan secara bersama enjin pesawat berasaskan sel bahan api yang tidak menghasilkan pelepasan, lapor agensi berita Jerman dpa.
Menurut kenyataan kedua-dua syarikat pada Selasa, sebuah usaha sama dijangka membangunkan dan memasarkan enjin baharu itu mulai 2027.
Kedua-dua syarikat mengumumkan penubuhan usaha sama berkenaan sebagai langkah seterusnya dalam kerjasama mereka selepas menandatangani memorandum persefahaman pada 2025.
Bagaimanapun, kelulusan kawal selia dan perbincangan dengan badan perwakilan pekerja masih belum dimuktamadkan.
Pelepasan daripada enjin pesawat konvensional amat memudaratkan iklim kerana pesawat jet beroperasi pada altitud tinggi.
Dalam industri penerbangan, pendorongan bateri elektrik dianggap tidak sesuai untuk pesawat bersaiz besar berikutan faktor berat bateri.
Sebaliknya, sel bahan api menjana elektrik di dalam pesawat melalui tindak balas kimia antara hidrogen dan oksigen.
Usaha sama yang dirancang itu bukan sahaja bertujuan membawa teknologi pendorongan sel bahan api ke tahap sedia dipasarkan, malah mempunyai matlamat lebih luas apabila MTU dan Airbus berhasrat menonjolkan kepimpinan teknologi Eropah.
Kedua-dua syarikat itu telah bekerjasama dalam pembangunan enjin sel bahan api sejak beberapa tahun kebelakangan ini.- Bernama-dpa