
KUCHING: AirBorneo memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat beberapa siri kelewatan dan pembatalan penerbangan yang berlaku di Sarawak dan Sabah sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira berkata, syarikat penerbangan itu mengakui gangguan berkenaan telah menimbulkan kesulitan, kekecewaan dan ketidakpastian kepada penumpang serta keluarga mereka.
Menurut beliau, gangguan tersebut berpunca daripada beberapa pesawat yang tidak dapat beroperasi serentak susulan keperluan penyelenggaraan berjadual dan kerja-kerja pembaikan teknikal.
Katanya, proses berkenaan turut terjejas akibat kelewatan penghantaran komponen gantian penting yang diperlukan bagi membolehkan pesawat kembali beroperasi.
“Saya ingin memohon maaf dengan ikhlas kepada semua penumpang yang terkesan akibat gangguan ini.
“Kami memahami kekecewaan, kesulitan dan ketidakpastian yang dialami, dan kami amat kesal dengan kesan yang ditanggung oleh penumpang serta keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, AirBorneo kini melaksanakan beberapa langkah tambahan dari segi operasi dan penyelenggaraan bagi memperkukuh keupayaan armadanya serta memulihkan semula jadual penerbangan secara berperingkat.
Beliau menegaskan keselamatan kekal menjadi keutamaan syarikat dan setiap pesawat akan terus memenuhi piawaian keselamatan serta kelayakan penerbangan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, AirBorneo turut meneruskan pelan pembaharuan dan pengembangan armadanya termasuk cadangan memperkenalkan pesawat ATR 72-600 bagi meningkatkan ketahanan operasi dan fleksibiliti rangkaian penerbangan di Sarawak dan Sabah.
Tambah kenyataan itu, penumpang yang terjejas telah dihubungi bagi urusan penjadualan semula penerbangan, bayaran balik dan bantuan perjalanan lain.
“AirBorneo turut menyediakan kemudahan makanan, penginapan dan pengangkutan darat kepada penumpang yang memerlukan sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan tersebut,” ujarnya.