AirBorneo akan terbang ke Jakarta dua bulan akan datang – Premier Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: AirBorneo akan memperluaskan penerbangan ke ibu kota Indonesia, Jakarta dalam tempoh dua bulan akan datang, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak berkata ini setelah AirBorneo memulakan penerbangan sulung ke Singapura petang tadi dan ke Kuala Lumpur Isnin lalu.

ABANG Johari menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Hari Sarawak 2026 di Sibu sambil mengumumkan perkembangan baharu rangkaian penerbangan AirBorneo ke destinasi antarabangsa.

“Dua hari yang lalu, pada 20 Julai 2026, rakyat Sarawak telah menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila AirBorneo memulakan penerbangan sulungnya dari Kuching ke Kuala Lumpur.

“Hari ini, hadiah kedua untuk rakyat Sarawak, saya ingin mengumumkan bahawa AirBorneo membuat penerbangan pertama antarabangsa dari Kuching ke Singapura.

“Dia bulan akan datang akan pergi ke Jakarta. Ini pengorbanan kita dalam sektor penerbangan yang akan memberi impak yang besar dalam ekonomi kita,” katanya.

Abang Johari mengumumkan demikian ketika berucap pada Perhimpunan Hari Sarasak 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di sini malam ini.

Beliau berkata penerbangan sulung itu bukan sekadar membuka laluan baharu, tetapi melambangkan permulaan satu era baharu dalam pembangunan rangkaian pengangkutan udara Sarawak di rantau ini.
 
Katanya, ia mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan Sarawak untuk membina sistem perhubungan yang lebih cekap, berdaya saing dan berorientasikan masa hadapan.
 
“AirBorneo merupakan manifestasi komitmen kerajaan Sarawak untuk memperkukuhkan hubungan, merangsang perdagangan, memperluaskan sektor pelancongan serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
 
“Pada masa sama, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat dan komuniti perniagaan untuk berhubung dengan pasaran yang lebih luas, termasuk memperkenalkan produk seperti buah Dabai.

“Mungkin kelak AirBorneo akan ada menu buah Dabai dari Song dan Kanowit untuk laluan antarabangsa seperti Kuching/Singapore supaya produk unik kita dikenali dunia.
 
“AirBorneo juga melengkapkan ekosistem pengangkutan moden yang sedang kita bangunkan melalui pelabuhan, jaringan jalan raya, lapangan terbang serta sistem Autonomous Rapid Transit (ART).

“Kesemua inisiatif ini saling melengkapi dalam mewujudkan rangkaian mobiliti yang lebih cekap, mampan dan bersepadu,” katanya.