SEPANG: AirAsia melancarkan 27,000 tiket tambang tetap bagi perjalanan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Paul Caroll ketika mengumumkannya berkata tambang semua dalam satu bagi penerbangan dari Kuala Lumpur dan Johor Bharu ke Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu ialah RM328, manakala penerbangan ke Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan ialah RM388.
Beliau berkata, justeru, AirAsia akan menyediakan 152 penerbangan tambahan bagi memenuhi jangkaan lebihan permintaan bagi penerbangan sepanjang tempoh perayaan itu bermula 24 Januari hingga 4 Februari 2025.
“Memandangkan Tahun Baharu Lunar akan tiba tidak sampai satu bulan lagi, kami teruja untuk menyambut ketibaan Tahun Ular yang melambangkan kecekalan dan keazaman.
“Bagi meraikan perayaan ini, AirAsia dengan bangganya menawarkan tambang tetap mampu milik supaya rakyat Malaysia dapat bersama-sama orang tersayang pada hari istimewa ini,” katanya pada pelancaran tambang itu di ibu pejabat AirAsia di sini, hari ini. – Bernama