AGUNGNYA Keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan, kehebatan panorama air terjun Wong Pejik Lusong Laku yang terletak di Hulu Sungai Linau, Belaga, Kapit bagaikan menyerupai keindahan Niagara Fall di negara Kanada.
Lantaran itu, air terjun Wong Pejik Lusong Laku merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang menarik di Sarawak.
Bagi para pencinta keindahan alam semula jadi, inilah destinasi yang amat sesuai untuk mereka diterokai.
Perjalanan
Untuk sampai ke air terjun Wong Pejik Lusong Laku bukanlah suatu perkara yang senang. Ia memerlukan semangat yang kental, tabah dari segi mental dan fizikal.
Pengunjung perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan melalui jalan balak.
Perjalanan daripada Bandar Bintulu ke Lusong Laku memakan masa antara enam hingga lapan jam dengan bergantung kepada keadaan jalan dan kecekapan pemanduan.
Manakala, dari Kapit pula perjalanan mengambil masa kira-kira sembilan jam menaiki kenderaan pacuan empat roda dan juga melalui jalan balak.
Demi keselamatan, para pengunjung amat digalakkan untuk mendapatkan khidmat mereka yang berpengelaman atau mereka yang pernah datang ke kawasan tersebut sebagai juru pandu.
Penempatan
Wong Pejik yang terletak di Lusong Laku Belaga merupakan antara khazanah alam yang terindah di Belaga Sarawak.
Ketinggian melebihi 20 kaki dan lebih 50 meter lebar. Di tepi air terjun tersebut terletak sebuah sekolah rendah yang dikenali sebagai SK Lusong Laku.
Penduduk yang mendiami kampung Lusong Laku adalah etnik Penan yang terletak tidak jauh dari hulu Air Terjun Wong Pejik Lusong Laku.
Kawasan kampung Lusong Laku turut dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur termasuk akses jalan raya dan klinik.
Ketika musim kemarau, Sungai Linau yang jernih dan menjadi taman permainan ikan empurau dan semah.
Apa yang kurang enak mata memandang kini adalah keadaan Sungai Linau menjadi keruh disebabkan aktiviti pembalakan yang aktif di kawasan hulu sungai tersebut.
Lusong Laku juga kaya dengan sumber daripada hasil hutan, sungai dan pertanian yang seterusnya memberikan manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut.
Setiap pengunjung yang datang sudah pasti akan disambut dengan penuh kemesraan oleh penduduk di kawasan tersebut.
Panorama indah air terjun Wong Pejik Lusong Laku pastinya akan menjanjikan suatu pengalaman yang amat berharga dan Indah kepada pengunjung. Terdapat juga kemudahan Inap Desa yang ditawarkan kepada pengunjung.
Lusong Laku merupakan tempat yang harus dilawati oleh kaki pancing ikan air tawar, selain untuk mencari ketenangan, kesegaran dan pemandangan yang indah.
Oleh Akun Giman