DARO: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, hadir untuk meninjau program sesi libat urus pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi Daerah Daro yang telah diadakan di Dewan Masyarakat Daro semalam.
Ahmad Johnie menjelaskan bahawa program yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu melibatkan kawasan Nanga Semah, Batang Lassa, Pulau Bruit, dan Kampung Semop di lokasi yang telah ditetapkan.
“Tujuan utama program sesi libat urus ini adalah untuk membantu penduduk yang layak menerima bantuan SKAS dengan melengkapkan pendaftaran Sarawak ID dan SPay bagi Program Bantuan SKAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pejabat Daerah Daro atas inisiatif yang memberi manfaat besar kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh; Pegawai Daerah Daro, Zul Usop serta sukarelawan yang membantu dalam proses pendaftaran.