TANJUNG MANIS: Agrobank telah berjaya meluluskan dana Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) berjumlah RM869,000 kepada 25 usahawan sejak Agrobank Tanjung Manis beroperasi 15 Mei tahun lalu.
Ahli Lembaga Pengarah Agrobank Mohamed Iqbal berkata, baru-baru ini, kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan dana tambahan sebanyak RM4 juta kepada Agrobank untuk menyantuni golongan B40 dan usahawan tempatan di Sarawak ke arah pemerkasaan usahawan mikro dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).
“Dana tambahan skim kredit mikro ini turut membuka peluang kepada pemain industri pertanian, perikanan dan penternakan di Sarawak untuk menjana ekonomi negara.
“Setakat hari ini, Agrobank telah berjaya meluluskan dana Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) berjumlah RM869,000 kepada 25 usahawan sejak Agrobank Tanjung Manis beroperasi.
“Hari ini juga, Agrobank mengumumkan pemberian sumbangan manfaat perlindungan takaful bernilai RM2 juta melalui Pelan Perlindungan Takaful Kasih Plus Agrobank kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Tanjung Manis,” katanya berucap pada majlis perasmian Agrobank Cawangan Tanjung Manis dan pelancaran program komuniti tanpa tunai Tanjung Manis bertempat di Dewan Masyarakat Tanjung Manis, hari ini.
Beliau berharap pemberian tersebut dapat memberikan jaminan perlindungan kewangan dan kestabilan kewangan yang berpanjangan.
Dalam pada itu, katanya, melalui pelbagai inisiatif pendigitalan yang ditawarkan, rakyat Sarawak kini boleh mengakses pelbagai perkhidmatan kewangan dan perbankan digital tanpa sempadan ke arah visi mewujudkan masyarakat celik tunai dalam mendepani cabaran era globalosasi.
“Agrobank pada hari ini amat berbesar hati untuk menjadi pemangkin kepada komuniti “cashless” atau tanpa tunai di Sarawak.
“Justeru, Program Komuniti Cashless Agrobank ini adalah kesinambungan kepada usaha berterusan dan tanggungjawab sosial korporat kami dalam menyumbang jepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Dalam merealisasikan pembudayaan transaksi tanpa tunai, pelanggan Agrobank harus memanfaatkan ciri Agrobank DuitNow QR sebagai pilihan pembayaran yang mudah, selamat dan pantas dengan transaksi dalam ‘real time’ bagi memenuhi setiap keperluan pembayaran,” katanya lagi.
Katanya, ciri ini turut membantu ramai golongan peniaga dan usahawan terutamanya penjaja kecil dan mikro dalam melancarkan urusan perniagaan dan kewangan harian, seterusnya menyumbang kepada kemajuan perniagaan mereka.
Oleh Earl Anek