BANGKOK: Thailand yang menyaksikan jumlah kes Covid-19 kini semakin berkurangan, akan menerima kumpulan pelancong asing pertama minggu depan, menandakan permulaan awal pembukaan secara beransur sektor pelancongannya, dengan langkah-langkah keselamatan yang ketat ditampilkan bagi menyekat sebarang gelombang jangkitan.
Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, kumpulan pertama 150 pelancong Cina dari Guangzhou, China akan tiba di pulau peranginan Phuket dengan penerbangan khas pada 8 Oktober.
Beliau berkata pada hari sama, satu lagi kumpulan tujuh ahli perniagaan dari China akan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, di sini.
Menurutnya satu lagi kumpulan 126 pelancong dari Guangdong, China akan tiba di Bangkok pada 25 Oktober, manakala 120 pelancong dari negara-negara Scandinavia akan tiba pada 1 November.
“Tiga hotel di Phuket, dan tiap satu di Chon Buri serta Buri Ram dipilih sebagai hotel kuarantin alternatif negara (ASQ) bagi pelancong asing yang memasuki Thailand,” katanya dalam persidangan media di sini hari ini.
Semua pelancong asing yang memasuki Thailand akan tinggal di ASQ selama 14 hari. Selain itu, mereka diperlukan memiliki insurans kesihatan dan menjalani ujian Covid-19 negatif 72 jam sebelum ketibaan.
Sementara itu Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata, Thailand sedang mengehadkan jumlah pelancong yang memasuki negara dan beberapa langkah kawalan ketat dikenakan bagi mengawal sebarang penularan jangkitan.
“Keputusan perlu dibuat dengan hati-hati. Aplikasi pengesanan dan gelang tangan khas akan membantu kita untuk mengesan mereka,” katanya.
Sementara itu jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Kabinet hari ini meluluskan lanjutan keenam pengisytiharan darurat sehingga hujung bulan Oktober, memandangkan situasi pandemik Covid-19 di peringkat global masih membimbangkan. “Perintah darurat penting dalam mengawal pandemik, di samping membantu mengawal kesan Covid-19,” katanya. – Bernama