
KUCHING: Affin Bank akan terus memperluaskan jaringan rangkaian perkhidmatan di Sarawak dengan membuka lebih banyak cawangan dan memperkenalkan inisiatif perbankan digital.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN Bank Berhad, Dato Wan Razly Abdullah mengumumkan bahawa langkah ini bertujuan menyediakan akses kewangan yang lebih inklusif kepada rakyat.
“Pelaburan dalam infrastruktur, termasuk projek tenaga dan pembangunan hartanah, mencerminkan komitmen Affin Bank dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak secara mampan.
“Selain itu, inisiatif ESG kami turut menekankan kepentingan kesejahteraan komuniti dan tanggungjawab sosial, sejajar dengan aspirasi Sarawak sebagai negeri maju dan berdaya saing,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama Affin Bank sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Hotel Sheraton, malam tadi.
Terdahulu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menekankan kepentingan mempercepatkan penubuhan pejabat serantau Affin Bank bagi memberi lebih kuasa kelulusan kepada pengurusan tempatan, sekali gus mempercepatkan proses pembiayaan perumahan.
“Projek perumahan bernilai juta ringgit kini mendapat permintaan tinggi daripada rakyat Sarawak di luar negara serta pelabur asing. Ini menunjukkan potensi besar sektor hartanah di Sarawak.
“Melalui sokongan kewangan yang kukuh, terutamanya Affin Bank, dan kestabilan ekonomi, Sarawak berada di landasan tepat untuk menjadi pusat pelaburan hartanah dan tenaga yang berdaya saing di ASEAN,” tambahnya.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakam gambar bersama Dato Wan Razly Abdullah, dan tetamu kehormat yang lain pada majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama Affin Bank 2025 di Hotel Sheraton, malam tadi. Foto HERRIEY NAHA
Melalui peranan penting Affin Bank dalam menyokong pembiayaan pemaju dan pembeli rumah, permintaan terhadap hartanah mewah di Sarawak dijangka terus meningkat serra memperkukuh lagi pertumbuhan ekonomi negeri.
Terdahulu, pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina 2025 yang dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sebuah hotel, 13 Februari lalu, Abang Johari menyatakan bahawa sektor kewangan Sarawak bersedia untuk memperolehi autonomi yang lebih besar apabila Affin Bank menubuhkan ibu pejabat wilayahnya di Kuching.
Ini, menurut beliau, membolehkan kelulusan pinjaman diproses secara tempatan dan bukannya di Kuala Lumpur.
“Bank akan menubuhkan ibu pejabat wilayah di Kuching.
“Kemudian mereka diberi mandat untuk meluluskan pinjaman kepada jumlah tertentu di sini di Kuching, bukan lagi di KL.
“Itu akan mempercepatkan komuniti perniagaan, terutama PKS (perusahaan kecil dan sederhana) untuk anda melancarkan apa sahaja aktiviti yang anda mahu lakukan,” katanya.
Untuk rekod, Sarawak baru-baru ini, memperoleh 31.25 peratus pegangan majoriti dalam Affin Bank, menjadikannya negeri pertama di Malaysia yang memegang kepentingan mengawal dalam bank perdagangan.
Turut hadir pada majlis malam tadi, kedua-dua Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh Masrin Affirah