
SEPANG: Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka kembali beroperasi selama 24 jam menjelang hujung bulan ini selepas menerima pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata semua ujian teknikal telah dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan ketika ini laporan penuh ujian berkenaan sedang dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tujuan penilaian serta pengesahan aspek keselamatan.
“Dijangkakan selepas pengesahan oleh APAD, menjelang akhir bulan ini, aerotrain akan beroperasi semula selama 24 jam,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen MyKLIA dan MyPutrajaya Monthly TravelCard (MTC) di KLIA Terminal 2 (T2), hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata perkhidmatan aerotrain ketika ini masih beroperasi, namun dihentikan sementara selama beberapa jam pada waktu malam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan serta pemeriksaan trek.
Sebelum ini, MAHB pada 14 November lepas mengulangi komitmen untuk memperkukuh kebolehpercayaan sistem aerotrain di KLIA menerusi Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) bagi menangani sepenuhnya isu teknikal yang timbul sejak perkhidmatan itu disambung semula pada Julai 2025.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah pada 13 Oktober dilaporkan berkata aerotrain di Terminal 1 (T1) KLIA mencatat 19 insiden antara 2 Julai hingga 30 September, berpunca daripada pelbagai isu termasuk masalah isyarat serta faktor manusia seperti tindakan penumpang yang memaksa membuka pintu tren.
Sejak kembali beroperasi pada 1 Julai lepas, sistem aerotrain di T1 KLIA telah mengangkut kira-kira tujuh juta penumpang serta melengkapkan lebih 53,000 perjalanan pergi balik dengan mencatatkan kadar kebolehsediaan operasi (OSA) sebanyak 98.41 peratus.- Bernama