BINTULU: Kesetiaan dan perpaduan dalam parti adalah faktor utama untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terutamanya semasa pemilihan ahli jawatankuasa parti.
Ketua PBB Cawangan N67 Jepak, Iskandar Turkee berkata, walaupun persaingan dalam parti mungkin berlaku, ia tidak seharusnya membawa kepada perpecahan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak itu, sebarang perpecahan dalam parti hanya akan memberi ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan sekali gus merugikan perjuangan dan kestabilan PBB di Jepak.
“Jika kita berpecah, sudah tentu pihak luar akan mengambil kesempatan.
“Sebab itu, walau siapa pun yang menang atau kalah dalam pemilihan nanti, kita perlu akrab kembali.
“Parti kita hanya akan kuat jika kita bersatu, dan kita hanya ada satu warna iaitu panji PBB, jadi itu yang perlu kita pegang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB N67 Jepak di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Iskandar juga mengingatkan bahawa dalam persaingan yang sihat, ahli PBB harus tetap menghormati satu sama lain, menyokong kepimpinan yang ada, dan memastikan segala tindakan berlandaskan maruah serta tanggungjawab.
“Maruah parti adalah maruah kita semua, jadi jangan biarkan ia dipijak-pijak.
“Kita tidak boleh membiarkan maruah dijual beli. Jika itu berlaku, bagaimana kita mahu kuat sebagai parti?
“Oleh itu, apa yang penting adalah kesetiaan dan komitmen kita terhadap perjuangan PBB,” tegasnya.