SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh melantik cucunya, Sean Wong sebagai pembantu peribadinya.
Menurutnya, tugas Sean bukan hanya bekerja dengannya tetapi juga dengan keseluruhan pasukan Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan dalam berkhidmat kepada rakyat.
“Dia akan membantu kami di Bawang Assan, pengerusi serta setiausaha politik juga memberi khidmat kepada rakyat kerana Bawang Assan adalah kawasan yang luas.
“Kawasan ini bukan sahaja merangkumi bandar Sibu iaitu sekitar 25 peratus pengundi, malah juga 25 peratus masyarakat Cina di kawasan luar bandar.
“Kami juga mempunyai 105 rumah panjang di sepanjang Batang Rejang, Batang Igan, Jalan Oya, Pasai Siong hingga ke Sungai Kut.
“Dengan kawasan yang begitu luas, kami benar-benar perlu bekerja keras di lapangan dan kami akan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya pada majlis penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Pusat Khidmat Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan, hari ini.
Sementara itu, Sean ketika ditemui pemberita berkata, ini adalah peluang yang baik untuknya belajar sebanyak mungkin daripada Wong dan mendapatkan pengalaman baru untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Buat masa ini, saya ingin belajar sebanyak mungkin, saya masih muda dan percaya dengan kemampuan saya untuk belajar.
“Saya ingin membantu dan berkhidmat untuk Sibu. Yang paling penting, saya ingin mendapatkan pengalaman daripadanya,” jelasnya.
Sean berusia 24 tahun, pernah bersekolah di Woodlands International School dan memperoleh sijil Cambridge.
Beliau juga merancang untuk melanjutkan pelajaran di Australia, tetapi disebabkan pemergian ayahnya, mendiang Dato Andrew Wong, beliau memutuskan untuk menangguhkan rancangan tersebut.
“Selain itu, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) ditubuhkan oleh Dato Andrew dan Dato Sri Wong Soon Koh, dan saya percaya ia adalah universiti yang baik.
“Jadi saya memutuskan untuk belajar di UTS,” katanya, sambil menambah bahawa beliau telah menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Produk.
Sean pernah aktif dalam Junior Chamber International (JCI) yang menurutnya telah membantu beliau menjadi pemimpin dan komunikator yang lebih baik.
Oleh AKUN GIMAN