ABU DHABI: ADNOC semalam mengumumkan bahawa ia telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) kedua untuk projek gas asli cecair (LNG) Ruwais yang berkarbon rendah bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dari Malaysia, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Perjanjian SPA selama 15 tahun untuk membekalkan 1 juta tan setahun (mtpa) LNG ini mengubah Perjanjian Kepala yang terdahulu antara ADNOC dan Petronas menjadi perjanjian muktamad.
LNG ini akan diperoleh terutamanya dari projek LNG Ruwais, yang kini sedang dibangunkan di Bandar Industri Al Ruwais, Abu Dhabi. Penghantaran dijangka bermula pada 2028 apabila operasi komersial dimulakan. Setakat ini, lebih daripada 8 mtpa kapasiti pengeluaran projek ini telah komited untuk pelanggan antarabangsa melalui perjanjian jangka panjang.
Naib Presiden Eksekutif ADNOC, Pengurusan Perniagaan Hiliran Fatema Al Nuaimi berkata, “Gas asli memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga dunia, dan kami berbangga dapat bekerjasama dengan Petronas untuk membekalkan LNG rendah karbon melalui perjanjian penting ini. Pencapaian ini menekankan lagi peranan ADNOC sebagai pembekal tenaga global yang boleh dipercayai dan menyokong permintaan yang semakin meningkat di Asia untuk penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan mampan.”
ADNOC Gas mengumumkan pada November 2024 bahawa ia menjangka untuk memperoleh 60 peratus pegangan ADNOC dalam projek LNG Ruwais dengan kos yang dianggarkan sekitar US$5 bilion pada separuh kedua 2028. Apabila selesai, projek ini yang terdiri daripada dua unit pencairan LNG 4.8 mtpa dengan kapasiti gabungan 9.6 mtpa, akan menggandakan kapasiti pengeluaran LNG yang dikendalikan ADNOC Gas kepada sekitar 15 mtpa.
Naib Presiden Pemasaran & Perdagangan LNG Petronas Shamsairi Ibrahim berkata: “Kerjasama ini dengan ADNOC menandakan pencapaian penting dalam mengukuhkan perniagaan Petronas dengan UAE, melengkapkan aktiviti huluan kami sambil mengukuhkan hubungan ekonomi strategik antara UAE dan Malaysia.
Kerjasama ini memperkukuhkan portfolio LNG kami dengan bekalan tenaga berkarbon rendah yang boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan domestik Malaysia, meningkatkan keselamatan bekalan untuk pelanggan kami, dan memperdalam kerjasama antara kerajaan sambil membolehkan pembangunan lestari serta menyediakan penyelesaian untuk peralihan tenaga yang akan memperkaya kehidupan untuk masa depan yang mampan.”
Loji LNG Ruwais akan menjadi kemudahan eksport LNG pertama di rantau Timur Tengah dan Afrika yang beroperasi dengan kuasa bersih, menjadikannya salah satu loji LNG dengan intensiti karbon terendah di dunia. Kemudahan ini akan memanfaatkan kecerdasan buatan dan teknologi terkini untuk meningkatkan keselamatan, meminimumkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan. – Bernama – WAM