‘Kembar’ Haaland dari Rusia raih perhatian dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MODEL Rusia, Anastasia Kostromina, mengakui tidak menyangka video memaparkan persamaan wajahnya dengan Erling Haaland menjadi tular di media sosial. Foto AGENSI

MOSCOW, Russia: Selama beberapa tahun, keluarga dan rakan-rakan sering memberitahu model Rusia, Anastasia Kostromina, bahawa wajahnya mirip penyerang Norway, Erling Haaland. Namun, hanya selepas Haaland muncul sebagai bintang sensasi Piala Dunia, dia memutuskan untuk berkongsi persamaan itu di media sosial.

Awal bulan ini, Kostromina memuat naik sebuah video di Instagram yang memaparkan persamaan wajahnya dengan Haaland, termasuk meniru beberapa gerak-geri, ekspresi wajah dan gaya yang kini menjadi identiti pemain itu.

Video tersebut kemudian tular dan meraih 6.4 juta tanda suka

“Pada mulanya saya sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku. Rasanya seperti mimpi,” kata Kostromina kepada AFP di Moscow sambil mengakui dia “tidak pernah menyangka” video itu akan menjadi begitu tular.

“Tetapi saya tetap gembira mengenainya,” tambah wanita berusia 24 tahun itu.

Haaland, 25, muncul sebagai sensasi media sosial sepanjang Piala Dunia, dengan penyerang Manchester City itu kini memiliki 68.8 juta pengikut di media sosial.

Beliau menyerlah di kejohanan itu apabila menjaringkan tujuh gol, termasuk dua gol ketika menentang Brazil pada pusingan 16 terbaik, sekali gus membantu Norway mara ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada England.

Kostromina mengakui pada mulanya dia berasa janggal apabila diberitahu wajahnya menyerupai pemain bola sepak lelaki yang bertubuh tinggi itu, namun kini dia menerimanya dengan hati terbuka.

“Sejujurnya, pada mulanya saya langsung tidak faham bagaimana saya boleh kelihatan seperti seorang pemain bola sepak lelaki. Namun, lama-kelamaan saya mula melihatnya sebagai sesuatu yang lucu dan kini saya tidak lagi berasa janggal.”

Sudah tentu, dia menyokong Norway sepanjang kempen Piala Dunia dan berasa sedih apabila pasukan itu tersingkir.

“Saya benar-benar memberi sokongan kepada mereka dan berdebar-debar sepanjang perlawanan terakhir mereka dalam kejohanan ini,” katanya.

Rusia sebahagian besarnya digantung daripada penyertaan dalam sukan antarabangsa sejak melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 2022, sekali gus tidak mengambil bahagian dalam Piala Dunia kali ini.

Kostromina, yang diwakili oleh agensi Motion Model Management yang berpangkalan di Moscow, berharap Haaland akan menonton videonya.

“Saya harap Haaland akan menonton video saya, mungkin dia juga akan ketawa,” katanya. – AFP

Getah rambut Haaland habis dijual

PRODUK getah rambut Kknekki keluaran Dooji Co. yang direka khas untuk Erling Haaland dan mencetuskan permintaan tinggi selepas dipakainya pada

Dua maut dalam nahas helikopter di Kanada

VANCOUVER: Dua maut pada Selasa selepas sebuah helikopter terhempas di kawasan terpencil di luar pantai British Columbia, Kanada, menurut media tempatan,