Satelit Sarawak 2030: Langkah kuasai data sendiri

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ABANG Johari berucap ketika Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2026 di Kuching hari ini.

KUCHING: Sarawak tidak lagi mahu hanya menjadi pengguna data, sebaliknya berhasrat menjadi pemilik sumber maklumat strategik menerusi misi angkasa sendiri menjelang 2030.

Hasrat itu diterjemahkan melalui perancangan melancarkan satelit CubeSat ke Orbit Rendah Bumi (LEO), sekali gus membolehkan Sarawak memperoleh data yang tepat dan sahih secara terus dari angkasa bagi menyokong perancangan serta pembangunan negeri berasaskan pengetahuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penguasaan data secara berdikari akan menjadi aset penting dalam menghadapi ekonomi masa depan yang bergantung pada teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi.

Menurut beliau, data yang diperoleh secara terus daripada Orbit Rendah Bumi (LEO) akan membantu Sarawak membuat keputusan pembangunan berasaskan maklumat yang lebih tepat.

“Kita sedang bersedia untuk mempunyai data kita sendiri dari awan, iaitu dari orbit rendah. Kita juga sedang bersedia untuk melancarkan satelit kita sendiri, Satelit Sarawak, ke Orbit Rendah Bumi (LEO) menjelang 2030,” katanya.

ILUSTRASI CubeSat, satelit bersaiz mikro yang bakal menjadi sebahagian daripada perancangan Misi Angkasa Sarawak 2030 bagi mendapatkan data strategik dari Orbit Rendah Bumi (LEO).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2026 di Kuching hari ini.

Tambah beliau, langkah itu turut memerlukan pembangunan modal insan tempatan bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga pakar dalam bidang teknologi angkasa dan ekonomi yang semakin kompleks.

“Sarawak bersedia untuk ekonomi baharu dan kita sedang melatih generasi muda, khususnya para pelajar, untuk melaksanakan tugasan pembangunan ekonomi yang kompleks.

“Sebab itu kita memberikan pendidikan tinggi percuma kepada semua anak Sarawak di universiti-universiti di Sarawak kerana kita mahu mereka bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Misi Satelit Sarawak 2030 bukan sekadar penerokaan teknologi angkasa, malah merupakan langkah strategik untuk membina ekonomi berasaskan pengetahuan menerusi penguasaan data, inovasi dan keupayaan teknologi bagi menentukan hala tuju pembangunan Sarawak pada masa hadapan.

Oleh Afiq Sallehi